Nor Nekman pada sesi penerangan isu pajakan 99 tahun Tanah Rizab Melayu di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri perlu menjadikan isu Tanah Rizab Melayu (TRM) sebagai agenda kritikal dengan pendekatan yang ikhlas demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nor Nekman Osman berkata, kuasa sebenar sesebuah kerajaan adalah terletak pada rakyat dan segala keputusan berkaitan tanah rizab berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Sudah tentu kuasa kerajaan itu adalah rakyat, rakyat itu adalah kerajaan. Tidak ada yang tidak boleh dibuat kerana peruntukan tanah ini diberi kuasa oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan isu pajakan 99 tahun Tanah Rizab Melayu di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini malam tadi.

Menurutnya, sebagai anak Johor, rakyat akan terus mendesak melalui saluran politik supaya kerajaan negeri yang berpusat di Iskandar Puteri memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan.

“Tidak kira siapa yang mentadbir, jika ada keikhlasan untuk melihat bangsa Melayu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain, maka perkara ini mesti dijadikan agenda utama,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu mempertahankan serta menjadikan permohonan penduduk berhubung status TRM Kampung Melayu Majidee sebagai agenda utama dan kritikal negeri.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad, membangkitkan isu permohonan penduduk untuk menukar status TRM Kampung Melayu Majidee daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal.

Beliau mendakwa perkara itu boleh dilaksanakan berdasarkan inisiatif dan budi bicara kerajaan Johor, malah tuntutan sama pernah berlaku di Negeri Sembilan dan direalisasikan kerajaan negeri itu sejak 2019.

Sehubungan itu, Dzulkefly mempersoalkan alasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Hairi Mad Shah, bahawa permohonan tersebut tidak termasuk dalam Seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara yang tidak membenarkan pertukaran status berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast