KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan perintah pelucuthakan harta alih yang berada di luar Malaysia atas penama Putera Turki Abdullah Al-Saud.
Menurut sumber SPRM, permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 56 (1), 59, dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Harta-harta yang terlibat adalah wang berjumlah keseluruhan AS$115,320,661.63 (kira-kira RM450,615,320.17) yang disimpan dalam beberapa akaun bank di Switzerland termasuk di J.P. Morgan (Suisse) SA dan UBS Switzerland AG.
“Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada SPRM untuk memohon pelucuthakan harta yang dipercayai merupakan hasil daripada aktiviti haram, tertakluk kepada perintah mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahakan permohonan itu dan menegaskan komitmennya untuk terus memastikan sebarang hasil yang diperoleh melalui aktiviti menyalahi undang-undang diambil tindakan sewajarnya menurut lunas perundangan yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette
















