KULAI – Seorang programmer rugi RM219,320 selepas diperdaya sindiket pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Wanita warga tempatan mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM219,320 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, seorang wanita tempatan berusia 45 tahun membuat laporan polis semalam m mendakwa menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, mangsa mendakwa ditawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam.
“Suspek turut memaklumkan bahawa keuntungan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi dikenali sebagai ‘VI+Bull’ milik mangsa.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa melakukan sembilan transaksi pembayaran berjumlah RM219,320 ke dalam tiga akaun bank tempatan bermula 9 Disember 2025 hingga Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, mangsa yang merupakan juruprogram sistem membuat semakan pada akaun aplikasi berkenaan dan mendapati keuntungan yang dipaparkan mencecah RM336,544.
“Apabila mangsa cuba membuat pengeluaran, akaun tersebut telah disekat. Mangsa yang menyedari dirinya ditipu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.- MalaysiaGazette
















