Loo Choon Hwa dan Liew Kuo Seng (baju merah) didakwa atas pertuduhan mengikut Seskyen 435 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Dua lelaki yang juga ahli sindiket ahlong berpangkalan di Singapura terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di penjara selepas gagal membayar jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan membakar sebuah kereta bulan lalu.

Tertuduh, Loo Choon Hwa, 37, dan Liew Kuo Seng, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api petrol dengan niat mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar sebuah kereta jenis Proton X70 bernombor pendaftaran PPW 926.

Perbuatan itu menyebabkan pemilik kenderaan berkenaan, seorang wanita berusia 51 tahun, mengalami kerugian sebanyak RM100,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 5 pagi di alamat 26 Medan Muhibbah, Taman Alma, Bukit Mertajam, pada 17 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan pada 18 Mac depan untuk sebutan semula dan lantikan peguam. Kedua-dua tertuduh gagal membayar jaminan tersebut dan dibawa ke penjara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast