JOHOR BAHRU – Kementerian Komunikasi sudah memanggil semua platform media sosial bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya Akta Keselamatan Dalam Talian Negara (ONSA) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia kerana penguatkuasaan sepenuhnya ONSA bakal menjadi instrumen penting dalam memperkukuh ekosistem digital yang lebih selamat.
Beliau menegaskan, akta berkaitan sudah tersedia dan sesi libat urus bersama-sama platform terlibat sudah diadakan.
“Ini bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya instrumen perundangan berkaitan ONSA serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Kerajaan komited memastikan pelaksanaan berjalan lancar demi melindungi pengguna khususnya golongan kanak-kanak.
“Platform media sosial perlu melakukan perubahan termasuk mengekang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial serta menghalang penyiaran iklan judi dalam talian dan kandungan berbentuk scam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Ramadan Edisi ke-14 di Pasar Tani Datin HalimHt, Larkin hari ini.
Fahmi berkata, usaha memperkukuh keselamatan siber memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan serta penyedia platform digital agar ruang siber negara kekal selamat dan kondusif untuk pembangunan masyarakat.
Menurutnya, pihak kementerian menjunjung tinggi titah Raja Zarith Sofiah sebelum ini agar aspek keselamatan siber di negara ini dipertingkat susulan peningkatan kes buli siber, penipuan dalam talian dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Tambahnya, perkembangan teknologi menyaksikan akses internet semakin laju, murah dan meluas manakala harga peranti pula semakin mampu dimiliki rakyat.
Namun perkembangan tersebut turut mendedahkan pengguna kepada pelbagai elemen jenayah dan kandungan tidak sihat di media sosial.
“Dengan akses internet yang lebih meluas, kita dapati kes buli siber, scam dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan. Justeru, kementerian memberi keutamaan serius terhadap perkara ini selaras dengan titah Raja Permaisuri Agong,” katanya.
Kelmarin, Raja Zarith Sofiah dilaporkan bertitah, media sosial boleh menjadi ruang yang amat toksik dan memberi kesan buruk jangka panjang kepada generasi muda jika dibiarkan perkara negatif menular.
Baginda dilaporkan bertitah, perhatian serta tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa dan masyarakat bagi melindungi generasi muda daripada ancaman keselamatan di ruang atas talian. – MalaysiaGazette
















