Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat logistik dan pengangkutan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menyalahgunakan harta sebuah syarikat sebanyak RM465,500, lima hingga enam tahun lalu.

Tertuduh, Sahela Abdul Rahim, 42, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Sahela didakwa dengan curangnya menyebabkan Shekeen Abdul Rahim, 39, melupuskan harta milik Suria Motor (M) Sdn Bhd dengan menandatangani tiga keping cek Ambank Islamic.

Cek berkenaan masing-masing bernombor 047793 dan 047757 berjumlah RM80,000 setiap satu serta cek bernombor 051896 berjumlah RM75,000, yang merupakan wang hasil pembayaran penjualan permit Import kenderaan atas nama tertuduh tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat tersebut di Jalan Serampang, Taman Sri Tebrau, di sini masing-masing pada 24 Ogos 2020, 13 Oktober 2020 dan 11 Februari 2021.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa dengan curangnya menyebabkan Shekeen melupuskan harta milik syarikat iaitu wang syarikat masing-masing berjumlah RM135,000 dan RM95,500, yang merupakan hasil pembayaran penjualan permit import kenderaan dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di lokasi sama pada 23 November 2021 dan 29 Disember 2021.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Khairulazwad Sariman.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan manakala Khairulazwad memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 3 April ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast