Shaun Lau Wee Hong tak mengaku salah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini

TEMERLOH – Seorang pekebun durian tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas dakwaan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian dua individu pada 14 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tertuduh, Shaun Lau Wee Hong, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan, lelaki yang beralamat di Mentakab itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang dari RM50,000 dan maksimum sehingga RM100,000.

“Mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadapnya dan menetapkan 7 April 2026 sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan penahanan seorang lelaki disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan mengakibatkan kemalangan maut dalam kejadian di kilometer 134 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Stesen Minyak Taman Tualan Indah, Temerloh Sabtu lepas.

Ketika kejadian, sepasang suami isteri rentung apabila  kereta jenis Proton Preve dinaiki mereka terbakar selepas dilanggar tertuduh yang memandu sebuah Porshe Cayenne. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast