Laluan masuk ‘Green Lane’ yang merupakan inisiatif khas atau laluan pantas yang dikaji semula Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 26 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal berada dalam kelompok lima lapangan terbang utama Asia dari segi tahap keterhubungan.

Kejayaan itu secara tidak langsung mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab penerbangan penting di rantau ini ketika landskap penerbangan Asia terus berkembang pesat.

Berdasarkan kajian keterhubungan lapangan terbang Asia 2025 yang diterbitkan oleh Seasia.stats, KLIA juga merekodkan tahap keterhubungan tertinggi di Asia Tenggara dengan mencatat 36,159 sambungan penerbangan merangkumi laluan domestik, serantau dan antarabangsa.

Dalam kedudukan keseluruhan Asia, kajian tersebut menunjukkan Lapangan Terbang Istanbul berada di tangga pertama dari segi tahap keterhubungan diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai di tempat kedua dan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di kedudukan ketiga.

KLIA pula berada di tempat kelima Asia dan muncul sebagai lapangan terbang dengan tahap keterhubungan tertinggi di Asia Tenggara, mengatasi hab serantau lain seperti Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Lapangan Terbang Changi daripada segi skor keterhubungan.

Kajian itu menilai tahap keterhubungan berdasarkan jumlah sambungan penerbangan yang tersedia, kepelbagaian destinasi serta kekerapan pergerakan pesawat antara bandar utama dan sekunder, yang menjadi penanda aras keupayaan sesebuah lapangan terbang berfungsi sebagai hab sambungan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyerahkan beg cenderahati kepada pelancong dari Chengdu, China yang baru tiba dengan penerbangan China Air di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2023.

Menurut Seasia.stats, pencapaian KLIA itu didorong oleh rangkaian padat laluan jarak pendek dan sederhana, khususnya dalam pasaran Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, yang menyumbang secara langsung kepada kekuatan sambungan penerbangan lapangan terbang berkenaan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa peranan syarikat penerbangan kos rendah yang menjadikan KLIA sebagai pangkalan operasi utama telah meningkatkan kekerapan penerbangan serta kebolehcapaian antara bandar, sekali gus memperkukuh tahap keterhubungan lapangan terbang berkenaan.

Mengulas pencapaian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kedudukan KLIA yang mencatat tahap keterhubungan tertinggi di Asia Tenggara memberi kelebihan strategik kepada Malaysia dalam memperkukuh pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026 dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Menurut beliau, jaringan sambungan penerbangan yang luas dan berfrekuensi tinggi membolehkan pelancong dari pelbagai pasaran utama tiba ke Malaysia dengan lebih mudah dan cekap, sekali gus menyokong sasaran peningkatan ketibaan pelawat negara.

“Keupayaan KLIA menghubungkan Malaysia dengan pelbagai destinasi serantau dan antarabangsa adalah faktor penting dalam memastikan kempen Visit Malaysia 2026 dapat dilaksanakan secara berkesan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan terus memanfaatkan kekuatan keterhubungan penerbangan ini melalui kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan rakan industri bagi memperluas capaian pasaran pelancongan Malaysia.

Tambahnya, pengukuhan peranan KLIA sebagai hab penerbangan serantau akan terus menjadi antara pemangkin utama dalam merancakkan sektor pelancongan negara serta meningkatkan sumbangan industri itu kepada pertumbuhan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast