Raven Kumar menyambut ketibaan pelancong sempena Tahun Baharu Cina di LTAS, Senai, Kulai, hari ini

KULAI – Tourism Malaysia Wilayah Selatan menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dalam satu majlis penuh warna-warni di di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.

Suasana di balai ketibaan meriah dengan persembahan bertenaga tarian singa dan kehadiran maskot yang menyambut para pengunjung sebaik sahaja mereka tiba.

Buah limau mandarin sebagai simbol tradisi yang melambangkan tuah dan kesejahteraan turut diberikan selain cenderamata rasmi Visit Malaysia (VM) 2026 serta produk ikonik Johor seperti Kopi 434 dan Kluang RailCoffee.

Aktiviti tersebut merupakan merupakan sebahagian strategi berterusan Tourism Malaysia di bawah kempen VM 2026.

Tujuannya untuk menyediakan pengalaman ketibaan yang bermakna, mengukuhkan penjenamaan destinasi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan kaya dengan kepelbagaian budaya sepanjang tahun.

Kedatangan pelancong disambut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Maizatul Liza Mukhtar dan Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Datuk Mohd Rashidi.

Mereka turut disambut Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim dan Pengurus Besar Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Noor Safura Suib.

Raven Kumar berkata, seiring dengan usaha berterusan ini, Tourism Malaysia akan terus memperkasa profil pelancongan negara di peringkat global.

Katanya, usaha berkenaan dilakukan sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, selaras objektif VM 2026 dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang sektor pelancongan negara.

Jelasnya, inisiatif sambutan itu bukan sekadar satu keraian, malahan merupakan strategi serampang dua mata Tourism Malaysia di bawah kempen VM2026.

“Ini untuk memberikan pengalaman bermakna yang tidak dapat dilupakan kepada pelawat domestik mahupun antarabangsa.

“Langkah ini sekali gus meningkatkan kepuasan pelancong serta memartabatkan jenama pelancongan negara di persada dunia melalui kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta.

“Inisiatif di pintu masuk antarabangsa ini turut memainkan peranan penting dalam meninggalkan kesan positif kepada pelawat dan menggalakkan kunjungan berulang.

“Majlis sambutan di LTAS ini adalah sebagai cerminan komitmen jitu Tourism Malaysia Wilayah Selatan dan rakan-rakan strategik sempena kempen VM 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir dalam Sambutan Tahun Baru Cina di LTAS, Senai di sini hari ini.

Raven Kumar berkata, kepelbagaian musim perayaan di Malaysia merupakan cerminan murni kepada keutuhan perpaduan yang meletakkan negara ini sebagai destinasi pelancongan unik di persada antarabangsa.

“Dengan mencipta pengalaman pertama yang bermakna, kita bukan sekadar memperkenalkan warisan Truly Asia malah memperkukuh ekosistem pelancongan bagi memastikan masa depan ekonomi yang lebih makmur dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast