Oleh Awang Azman Awang Pawi
Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang memuncak dengan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 yang lain bukan lagi sekadar episod disiplin parti, sebaliknya telah berubah menjadi suatu pertarungan keabsahan atau pun sebagai battle of legitimacy, iaitu antara kepemimpinan formal dan sokongan politik substantif dalam kalangan wakil rakyat serta akar umbi. Sebelum terdapat ahli parlimen Bersatu lain turut dipecat seperti Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah.
Tindakan balas
Dalam tempoh kurang 24 jam selepas 16 Ahli Parlimen menyatakan pendirian terbuka agar Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Presiden, tindakan drastik Lembaga Disiplin memperlihatkan bahawa kompromi bukan lagi pilihan yang sedang dipertimbangkan. Perkembangan ini bukan sekadar soal siapa memegang jawatan secara struktural, tetapi siapa yang dianggap sah memimpin dari sudut moral, politik dan persepsi umum, sekali gus meletakkan BERSATU dalam keadaan defensif di mata penyokong dan pengundi.
Dalam mana-mana parti politik, terdapat dua bentuk legitimasi yang menjadi tunjang kestabilan organisasi, iaitu legitimasi institusional yang bersumber daripada perlembagaan parti dan jawatan rasmi, serta legitimasi politik substantif yang lahir daripada sokongan wakil rakyat dan ketua bahagian.
Muhyiddin memiliki keabsahan formal sebagai Presiden berdasarkan struktur dan peraturan parti, namun Hamzah, menurut perkembangan semasa, memiliki jaringan sokongan signifikan dalam kalangan Ahli Parlimen dan pimpinan bahagian. Apabila kedua-dua bentuk legitimasi ini bertembung secara terbuka, parti berdepan risiko perpecahan yang sukar dikawal kerana konflik tidak lagi terhad kepada perbezaan strategi, tetapi menyentuh persoalan siapa yang lebih berhak memimpin.
Situasi meruncing
Situasi ini menjadi lebih meruncing kerana BERSATU ialah tulang belakang kepada Perikatan Nasional (PN), maka krisis dalaman ini bukan isu terpencil, tetapi memberi kesan langsung kepada struktur dan imej pembangkang nasional secara keseluruhan.
Kedudukan Ketua Pembangkang yang sebelum ini disandang Hamzah kini menjadi tanda tanya besar dalam landskap politik semasa. Walaupun nama seperti Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan disebut sebagai calon munasabah berdasarkan pengalaman dan kedudukan dalam hierarki parti serta gabungan, hakikatnya pelantikan itu bergantung kepada konsensus politik dalam PN, khususnya hubungan antara BERSATU dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Dalam politik gabungan, keputusan tidak ditentukan secara automatik oleh struktur formal semata-mata, sebaliknya memerlukan persetujuan kolektif yang mengambil kira keseimbangan kuasa dan strategi jangka panjang.
Kedudukan PAS
PAS berada dalam kedudukan strategik sebagai penimbang kuasa dalam PN. Parti itu lazimnya mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”, menilai manfaat politik jangka panjang sebelum membuat keputusan muktamad. Namun jika PAS dilihat lebih selesa dengan kepemimpinan Hamzah berbanding struktur rasmi BERSATU, maka pemecatan beliau boleh mencetuskan penjajaran semula politik (realignment) dalam blok pembangkang.
Sekiranya berlaku perpecahan rasmi atau pembentukan blok tidak rasmi dalam BERSATU, PN akan berdepan tiga risiko besar iaitu gangguan terhadap jentera pilihan raya negeri dan PRU16, rundingan kerusi yang menjadi lebih rumit serta persepsi pengundi terhadap kestabilan pembangkang yang semakin merosot.
Pilihan pengundi dan qunut nazilah
Dalam persaingan politik di Malaysia, pengundi sering menilai kestabilan dalaman sebagai petunjuk keupayaan mentadbir, parti yang bergolak dan sibuk menyelesaikan konflik dalaman dianggap belum bersedia menjadi kerajaan alternatif yang diyakini.
Krisis ini juga mengundang refleksi yang lebih mendalam terhadap penggunaan wacana agama dalam politik, khususnya fenomena qunut nazilah yang semakin kerap disebut dalam ruang awam.
Dalam tradisi Islam, qunut nazilah ialah doa khusus yang dibaca ketika umat berdepan musibah besar seperti peperangan, penindasan atau bencana, dengan tujuan memohon pertolongan Allah serta membina solidariti spiritual umat. Namun dalam konteks politik Malaysia mutakhir, qunut nazilah kadangkala dijadikan simbol mobilisasi politik dan bahkan senjata retorik terhadap lawan. Di sinilah letaknya bahaya yang perlu disedari secara kolektif.
Politik pembingkaian
Apabila krisis dalaman parti dibingkai dalam bahasa keagamaan seolah-olah satu pihak dizalimi dan satu pihak lagi mempertahankan “kebenaran” dan politik berubah daripada perdebatan rasional kepada pertentangan moral yang bersifat absolut.
Konflik yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui musyawarah dan rundingan akhirnya dilihat sebagai pertarungan antara benar dan salah secara mutlak. Keadaan ini boleh membawa kepada moral absolutisme di mana perbezaan strategi dianggap sebagai pengkhianatan prinsip, emosi kolektif yang melampau sehingga penyokong bertindak atas dasar sentimen dan bukan pertimbangan rasional, serta polarisasi berpanjangan yang menutup ruang kompromi.
Dalam konteks BERSATU, jika krisis ini ditafsir melalui lensa keagamaan yang sempit dan emosional, ia berpotensi memperdalam jurang dalaman, bukan menyembuhkannya.
Pada hakikatnya qunut nazilah sepatutnya menjadi doa merendah diri memohon petunjuk dan kebijaksanaan, bukannya instrumen untuk melegitimasi perebutan kuasa dalaman atau mengukuhkan blok tertentu dalam konflik politik.
Dinamika politik
Krisis ini juga, pada hakikatnya menguji kematangan politik dalam tiga dimensi utama, iaitu kematangan institusi parti, keutuhan gabungan dan kebijaksanaan PAS sebagai rakan komponen utama.
Pertama, persoalan sama ada BERSATU mampu mengurus perbezaan secara prosedural dan berhemah, atau akan terus mengamalkan pendekatan pemecatan sebagai penyelesaian segera tanpa strategi pemulihan dalaman yang inklusif. Kedua, keupayaan PN menyusun semula kepimpinan secara kolektif tanpa mencetuskan perpecahan yang lebih luas dan menjejaskan rundingan politik menjelang pilihan raya. Ketiga, kebijaksanaan PAS dalam menimbang antara kesetiaan strategik dan keuntungan politik jangka panjang agar tidak terperangkap dalam konflik yang boleh melemahkan keseluruhan gabungan.
Namun dilihat serpihan yang dipecat dalam Bersatu ini dijangka akan membuka parti baharu bagi meneruskan peranan sebagai parti yang akan berkerjasama dengan PAS. Kemungkinan Perikatan Nasional akan dilihat sebagai kurang relevan kerana mana mungkin Hamzah dan sekutunya mahu bekerjasama dengan Bersatu yang kini dikuasai oleh Muhiyidin Yassin.
Sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa parti yang gagal mengurus konflik dalaman secara inklusif akhirnya kehilangan momentum elektoral. Pengundi hari ini lebih rasional dan semakin matang dalam membuat penilaian; mereka melihat kestabilan dalaman sebagai pra-syarat kepada kestabilan negara.
Parti yang dilihat tidak mampu menyelesaikan krisis kepimpinan sendiri sukar meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir negara dengan berkesan. Oleh itu, setiap krisis mengandungi dua kemungkinan yang saling bertentangan iaitu perpecahan atau pembaharuan.
Hala tuju
Jika krisis ini dibiarkan berlarutan tanpa usaha rekonsiliasi yang tulen, BERSATU mungkin terbelah kepada dua arus, iaitu satu kekal dengan Muhyiddin dan struktur formal parti, satu lagi bergerak sebagai blok bebas yang berpotensi menjalin kerjasama baharu dengan parti lain. Namun jika kepemimpinan mampu kembali kepada prinsip musyawarah, timbang rasa dan kebijaksanaan strategik, krisis ini boleh menjadi titik penyusunan semula yang lebih matang dan terancang.
Dalam tradisi Islam politik, doa seperti qunut nazilah bukan sekadar memohon kemenangan, tetapi memohon petunjuk dan kebijaksanaan dalam menghadapi ujian. Justeru, dalam konteks krisis BERSATU, yang lebih diperlukan bukanlah retorik keagamaan yang mengapi-apikan sentimen atau membingkai konflik sebagai pertarungan moral mutlak, tetapi kebijaksanaan politik yang meredakan ketegangan dan mengembalikan fokus kepada kepentingan kolektif.
Akhirnya, perebutan keabsahan ini bukan hanya tentang siapa memegang jawatan Presiden atau Ketua Pembangkang, tetapi tentang siapa yang mampu memulihkan keyakinan ahli atau menarik ahli dan penyokong, menyatukan jentera dan meyakinkan rakyat bahawa mereka masih relevan sebagai alternatif kerajaan.
Dalam politik, legitimasi sebenar bukan ditentukan oleh perlembagaan parti semata-mata, tetapi oleh kepercayaan rakyat yang hanya lahir daripada kestabilan, kematangan dan integriti kepimpinan.
Krisis BERSATU hari ini adalah ujian besar kerana bukan sahaja kepada parti itu sendiri, tetapi kepada budaya politik Malaysia secara keseluruhan dalam mengimbangi kuasa, prinsip dan kebijaksanaan
— Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
















