SEGAMAT – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori di Kilometer 72 Jalan Muar-Segamat di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan berkenaan berlaku pukul 3.30 petang melibatkan tiga buah kenderaan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an bergerak dari arah Segamat menghala ke arah Jementah.
“Kereta itu kemudian melanggar bahagian kiri sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Yan bergerak dari arah yang sama dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut mangsa gagal mengawal keretanya lalu masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah lori dipandu seorang lelaki tempatan berumur 30-an yang bergerak dari arah Jementah ke Segamat.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu SUV dan pemandu lori tidak cedera.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta saksi awam yang melihat kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Farizal Yang 07-9325811 untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















