KUALA LUMPUR – Air Selangor menggerakkan pasukan bagi membantu kerja-kerja pembersihan di Sungai Kabul, Semenyih susulan pencemaran bau yang dilaporkan Khamis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, pihaknya turut menggerakkan beberapa lori sedutan ke kawasan tercemar, selain menempatkan helaian sedut minyak dan joran minyak di lokasi kejadian bagi tujuan kawalan serta kerja-kerja pembersihan.
Menurutnya, tindakan itu merupakan usaha bantuan dan sokongan Air Selangor kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Kerajaan Negeri Selangor, di samping mempertingkatkan pemantauan kualiti air mentah bagi memastikan operasi loji rawatan air kekal stabil dan terkawal.
Jelasnya, sebagai langkah mitigasi tambahan, inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) serta pelarasan sistem agihan bekalan air (supply diversion) telah diaktifkan bagi memastikan kestabilan sistem bekalan.
Tambah beliau, hasil tindakan pantas dan kerjasama bersepadu itu, tiada gangguan bekalan air terhadap pengguna dilaporkan.
“Air Selangor sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan bekalan air kepada para pengguna.
“Saya ingin merakamkan penghargaan di atas komitmen dan dedikasi tinggi pasukan kami yang telah bertindak pantas di lapangan dalam menyokong usaha kawalan dan pembersihan.
“Keutamaan kami adalah memastikan operasi loji rawatan air kekal stabil dan bekalan air terawat yang bersih dan selamat terus disalurkan kepada 9.62 juta pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Air Selangor akan terus bekerjasama dengan LUAS dan memantau perkembangan dari semasa ke semasa demi memastikan kelangsungan bekalan air terawat yang bersih dan selamat kepada para pengguna.
Terdahulu, LUAS memaklumkan pihaknya telah mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor selepas rutin rondaan dan pemantauan 24 jam pihaknya di kawasan lembangan Sungai Langat kira-kira pukul 9 pagi Khamis lalu, mengesan bau abnormal di Sg. Kabul, Semenyih.
Siasatan LUAS telah menemukan dua premis yang disyaki melepaskan bahan pencemar di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang melibatkan aktiviti kitar semula minyak dan barangan plastik yang masing-masing terletak bersebelahan. – MalaysiaGazette
















