JOHOR BAHRU – Pas Johor menyifatkan proses peralihan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini mencerminkan kematangan serta kesepaduan saf kepimpinan gabungan itu.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, proses tersebut memastikan kesinambungan perjuangan PN demi agama, bangsa dan negara dapat diteruskan serta dimantapkan.
“Marilah kita bersama-sama memperkemaskan gerak kerja dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan penuh kesatuan dan istiqamah.
“Pas Johor juga menegaskan komitmen untuk memperkukuh kesatuan saf PN di semua peringkat, memperkemas penyelarasan gerak kerja serta mempertingkat kesiapsiagaan jentera.
“Ini bagi memastikan agenda pembelaan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tersusun menjelang PRU-16,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Hari ini, kepimpinan tertinggi PN sebulat suara melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi baharu gabungan berkenaan.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu berkuat-kuasa serta-merta.
Mahfodz dalam masa sama bersyukur kerana mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN pada siang tadi berlangsung dengan baik serta berakhir secara tertib dan harmoni.
Pas Johor mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri atas pelantikan itu dan mendoakan beliau dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan serta petunjuk dalam memimpin PN ke tahap yang lebih kukuh serta terus mendapat keyakinan rakyat.
Pas Johor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin atas segala jasa dan khidmat beliau sepanjang memegang amanah sebagai Pengerusi PN yang pertama.
Jelasnya, kepimpinan serta pengalaman beliau merupakan antara penyumbang utama kepada kekuatan dan kejayaan PN sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, Pas Johor menyeru seluruh ahli dan penyokong parti itu agar terus mendoakan, memberi sokongan serta memperkukuh kerjasama dalam saf perjuangan.- MalaysiaGazette
















