Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Stadium Titiwangsa yang merupakan satu-satunya stadium tertutup milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini diumumkan secara rasmi sebagai Home of Sepak Takraw.

Ia susulan kejayaan cemerlang skuad negara menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia pada Mei 2025 serta meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand, Disember lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan menjadikan stadium berkenaan sebagai gelanggang rasmi sepak takraw negara dipersetujui bersama oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian membanggakan atlet negara di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan sepak takraw bukan sekadar sukan tradisi sebaliknya telah berkembang sebagai sukan kompetitif bertaraf dunia yang memerlukan sokongan berterusan, perancangan strategik serta kemudahan berkualiti tinggi.

“Kerajaan berharap pihak Persekutuan Sepak Takraw Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya penetapan ini bagi memperkukuh pembangunan sukan sepak takraw negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada persekutuan berkenaan yang konsisten memainkan peranan penting memastikan sukan itu terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Komitmen dalam pembangunan atlet, penyertaan kejohanan serta usaha memperkukuh struktur sukan menjadi antara faktor penyumbang kepada kejayaan Malaysia.

Pada masa sama, kewujudan Home of Sepak Takraw itu disifatkan signifikan kerana menyediakan platform latihan yang lebih sistematik, tersusun dan berfokus kepada prestasi tinggi.

Stadium Titiwangsa kini turut menjadi pusat latihan pasukan sepak takraw Wilayah Persekutuan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos 2026 di Selangor.

DBKL juga memberi jaminan segala kelengkapan bagi sukan sepak takraw di stadium berkenaan akan dipastikan lengkap dan berada pada tahap terbaik untuk tujuan latihan serta penganjuran kejohanan.

Sebagai simbolik penghargaan, satu perlawanan persahabatan antara pasukan SUKMA dan pasukan Sukan SEA diadakan hari ini bagi meraikan atlet yang telah mengharumkan nama negara dalam sukan sepak takraw.

Selain itu, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia akan mempergiatkan penganjuran Klinik Sepak Takraw kepada seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum, termasuk melibatkan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, DBKL memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw.

Antara skop naik taraf termasuk lukisan mural dan identiti khas stadium, mengecat bahagian hadapan bangunan, penukaran papan skor kepada LED, penyediaan ruang serta kotak VIP di tingkat satu, penambahbaikan surau, bilik media, stor dan tandas, kelengkapan peralatan sepak takraw serta menaik taraf bilik persalinan dan bilik mesyuarat.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sagu hati imbuhan kemenangan kepada lapan atlet DBKL termasuk jurulatih yang berjaya meraih satu pingat emas, dua perak dan lima gangsa pada Sukan SEA 2025 di Thailand. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast