PUTRAJAYA – Banci Ekonomi (BE) 2026 bakal menjadi antara inisiatif pengumpulan data terbesar negara yang meliputi 1.34 juta pertubuhan yang memberi tumpuan kepada landskap ekonomi baharu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia meliputi e-dagang, teknologi hijau, perkhidmatan jarak jauh dan platform gig, di samping sektor informal seperti inap desa, kedai runcit, penjaja makanan dan perniagaan kecil-kecilan.
Menurutnya, anggaran menunjukkan 96.2 peratus pertubuhan di Malaysia pada tahun 2025 terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekali gus menggambarkan peranan besar PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara.
“Pendekatan ini turut menyokong agenda perindustrian negara dengan memberi fokus kepada industri strategik seperti aeroangkasa, elektrik & elektronik, farmaseutikal dan tenaga boleh baharu.
“Selain itu, Banci Ekonomi 2026 turut memperkenalkan beberapa soalan baharu yang meneliti aspek perniagaan moden dan keperluan sosial semasa.
“Antaranya termasuk data berkaitan kerja dari rumah dan model hibrid, kemudahan inklusif di premis perniagaan, tahap keselamatan siber serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta komitmen terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran BE 2026 yang disempurnakan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Pelaksanaan BE 2026 bermula 5 Januari lalu sehingga 31 Oktober ini merupakan inisiatif pengumpulan data ekonomi terbesar yang pernah dilaksanakan oleh negara dan merangkumi semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar termasuk
pertubuhan bukan berasaskan keuntungan bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang struktur dan aktiviti ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, hasil daripada BE2026, kerajaan akan memperoleh input kukuh bagi menyokong dasar berasaskan bukti.
Katanya, profil pertubuhan perniagaan dapat dikenal pasti dengan lebih terperinci termasuk indikator baharu seperti penggunaan teknologi AI dan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.
Menurut beliau, dapatan ini juga akan menjadi penanda aras baharu bagi penyusunan Keluaran Dalam Negara Kasar, guna tenaga, pelaburan dan sektor industri.
“Pada masa yang sama, kapasiti statistik negara diperkasa melalui pemanfaatan data raya serta analitik moden, yang seterusnya melahirkan statistik baharu yang selari dengan arus teknologi semasa dan mampu memenuhi tuntutan pemegang taruh dalam proses penggubalan dasar.
“Banci ini bukan sekadar tanggungjawab Jabatan, tetapi amanah nasional untuk memastikan dasar pembangunan ekonomi berpaksikan data yang tepat dan inklusif.
“Pelaksanaan akan menggunakan kaedah temuduga, pos, e-mel serta e-census bagi memastikan proses lebih cekap dan mesra pengguna.
“Sebanyak 21 laporan utama akan diterbitkan termasuk laporan sektor, subsektor, eknologi Komunikasi Maklumat (ICT), halal, perlancongan serta 14 laporan negeri dan buat pertama kali, laporan PMKS mengikut negeri akan turut diterbitkan bagi memperkukuh peranan PMKS sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, BE 2026 dijalankan secara berperingkat melalui tiga fasa utama di mana fasa pertama bermula pada 5 Januari hingga 28 Februari ini yang memberi tumpuan kepada pengumpulan data pertubuhan mikro dan informal.
Seterusnya, fasa kedua berlangsung dari 1 Mac hingga 30 Jun depan melibatkan PMKS manakala fasa ketiga dijalankan dari 1 Jun hingga 31 Oktober depan dengan memberi fokus kepada pertubuhan besar.
Keseluruhan proses ini dirangka bagi memastikan liputan banci adalah menyeluruh dan mampu menggambarkan struktur sebenar ekonomi negara.
Fokus awal kepada sektor informal seperti penjaja, pengusaha inap desa, pusat tuisyen, peniaga pasar tani, pencipta kandungan digital dan lain-lain adalah penting kerana sumbangan mereka yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa perlu turut diambil kira dalam ekonomi negara. – MalaysiaGazette
















