Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Iftar KUSKOP 2026 di Bizmilla Event Hall, Shaftsbury Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Walaupun baru sahaja menerima rawatan di sebuah hospital baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong masih bersemangat menghadiri Majlis Iftar bersama warga kementeriannya hari ini.

Katanya, beliau gagah datang dari Pulau Pinang untuk menghadiri majlis itu bagi mengeratkan ukhwah dalam kalangan warga kerjanya, agensi serta para pemegang taruh, selain menghayati keberkatan di bulan Ramadan.

Pada ucapannya, Steven turut memberitahu, beliau terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di sebuah hospital selepas menerima nasihat doktor untuk berehat seketika.

“Saya kira keindahan Malaysia mempunyai masyarakat yang majmuk. Awal Februari ini, kita telah bersama dengan rakan penganut Hindu menyambut Thaipusam, kemudian masyarakat Cina menyambut Gong Xi Fa Cai dan saya baru lepas sambut Gong Xi Fa Cai di hospital.

“Sekarang umat Islam pula menjalani ibadah puasa dan sebulan lagi kita akan menyambut Aidilfitri,” katanya ketika mengulas mengenai keunikan kemajmukan masyarakat di Malaysia pada Majlis Iftar Ramadan KUSKOP di sini hari ini.

Steven Sim Chee Keong bersama timbalannya memberi sumbangan kepada anak-anak yatim Rumah Bakti AlKausar Bangi pada Majlis Iftar KUSKOP 2026 di Bizmilla Event Hall, Shaftsbury Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 FEBRUARI 2026

Ujarnya, kemajmukan masyarakat di negara ini tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan sebaliknya sebuah kekuatan dengan saling mengenali dan mengambil contoh yang baik antara satu sama lain ke arah merealisasikan bangsa Malaysia yang lebih hebat.

Majlis Iftar itu turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Ali@ Fadzli yang menyampaikan tazkirah ringkas mengenai Ramadan.

Dalam pada itu, Steven juga menyampaikan sumbangan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya bernilai RM18,000 kepada Rumah Bakti Al Kausar, Bangi.

Beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 serta barangan keperluan asas termasuk makanan kepada 20 orang anak yatim dari rumah amal itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast