Tian Soon beramah mesra dengan peniaga semasa meninjau Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian di Pontian hari ini.

PONTIAN – Kes tuberkulosis (tibi) di Johor masih terkawal setakat ini walaupun minggu lalu merupakan negeri keempat yang mencatat kes tertinggi dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pengurusan kes tibi di Johor dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang jelas.

“Ini termasuk rawatan, pemantauan serta susulan rapi terhadap pesakit di klinik kesihatan.

“Setiap daerah memang ada kes tibi, namun semuanya di bawah kawalan. Pesakit dirawat di bilik khas tibi dan dipantau secara berterusan oleh pihak kesihatan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu berkata demikian selepas meninjau Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian di sini hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak 3,161 kes tibi direkodkan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026), dengan 596 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh pemantauan terbaharu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 755 kes atau 23.88 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti Selangor sebanyak 596 kes (18.85 peratus) dan Sarawak 332 kes (10.50 peratus).

Seterusnya, Johor merekodkan 280 kes, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 244 kes.

Tian Soon berkata, disebabkan kes tibi masih ada, tiada SOP tambahan dikenakan kepada peniaga atau pengunjung bazar Ramadan setakat ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sehingga hari keenam Ramadan, hanya satu aduan berkaitan kebersihan bazar diterima di Ulu Tiram dan siasatan sedang dijalankan.

“Jika didapati berlaku pelanggaran, tindakan sewajarnya akan diambil termasuk pengeluaran notis.

“Tahun ini, lebih 11,392 petak bazar Ramadan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Johor.

“Setakat ini, 808 gerai telah diperiksa dan lebih 98 peratus didapati berada dalam keadaan bersih serta memuaskan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast