Dua lori dan beberapa tong dirampas PPM merampas 4.8 tan MSM bernilai RM185,100 dalam serbuan di Pasir Gudang, semalam.

PASIR GUDANG – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 4.8 tan minyak sawit mentah (MSM) bernilai RM185,100 selepas memberkas seorang lelaki dan menahan dua lori di daerah ini semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, serbuan menerusi Op Taring Landai itu dilakukan pukul 2 petang hasil risikan berhubung aktiviti penyelewengan MSM.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari unit risik marin menjalankan serbuan ketika seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun melakukan aktiviti pemindahan haram MSM dari sebuah lori ke lori lain di kawasan Pasir Gudang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lori menemukan 24 tong dram besi berisi minyak sawit mentah dan 23 tong kosong, dengan anggaran keseluruhan 4.8 tan MSM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan ditahan untuk siasatan lanjut

Suspek katanya, ditahan dan semua barang rampasan diserahkan kepada pihak MPOB untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM185,100 dan kes disiasat bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast