Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed

PEKAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pekan akan menghantar memorandum menuntut agar pihak Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) mengenakan tindakan tatatertib tegas terhadap seorang penuntutnya yang membuat hantaran menghina agama Islam di laman media sosial.

Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, tindakan lelaki terbabit melampaui batas lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.

“Kalau ikut kehendak kami di Pemuda UMNO Pekan, kami tak nak tengok lagi si pelaku ini ada di bumi Pekan, memijak bumi Pekan ini.

“Bumi Pekan ini adalah Pekan Bandar Diraja dan Al-Sultan Abdullah merupakan Ketua Agama Islam Negeri Pahang, jadi saya rasa sangat tidak patut seorang yang menghina agama kami, nabi kami sebegitu rupa dibiarkan lagi untuk menjejakkan kakinya di tanah Pekan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Jelas Mohd Fakhrul, kenyataan provokasi seperti itu tidak seharusnya dipandang ringan meskipun pelajar tersebut sudah membuat permohonan maaf.

Beliau yakin, semua penganut agama lain seperti Hindu, Kristian dan Budha di negara ini juga tidak akan bertoleransi dengan perbuatan menghina agama lain yang boleh mengancam keharmonian masyarakat secara majmuk.

“Kalaulah generasi baru ketika ini terus mengamalkan perbuatan seperti ini, saya bimbang negara Malaysia yang kita bina lebih daripada 50 tahun ni akan runtuh disebabkan sesetengah pihak tidak berfikir panjang dan ringan jarinya untuk menaip perkara yang tidak sepatutnya di media sosial.

“Apa sahaja sebab dan justifikasi bukanlah perkara yang boleh menjadi asbab ataupun alasan kenapa kita perlu menghina agama lain,” katanya lagi.

Terdahulu, tindakan seorang pengguna akaun bernama “Vikneswaran0102′ di laman Thread membuat naik hantaran gambar memijak al-Quran dan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW mencetuskan amarah dalam kalangan netizen di  laman media sosial sejak malam tadi.

Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah menahan lelaki itu awal pagi tadi untuk disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMPSA Siasat Status Individu Muat Naik Hantaran Pijak Al-Quran #MGFlash

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast