Keadaan sebuah lori kotak sejuk beku dengan muatan sayur dan buah yang terbalik selepas terbabas di Jalan Mokhtar Dahari, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Dua lelaki masing-masing pemandu dan kelindan mengalami kecederaan dalam nahas membabitkan sebuah lori dengan muatan sayur dan buah yang terbabas di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari, lori kotak sejuk beku (rigid-refrigerated) jenis Nissan itu dalam perjalanan dari Bidor, Perak ke daerah ini.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah brek dan pemandu berusia 20an hilang kawalan lalu terbabas hingga menyebabkan lori tersebut terbalik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sayur-sayuran dan buah-buahan bertaburan di atas jalan selepas sebuah lori kotak sejuk beku terbalik dalam nahas di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, hari ini.

Ramsay berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu tersepit di dalam lori dan berjaya dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

“Pemandu dan kelindan yang berusia 30-an mengalami kecederaan di kepala dan kaki telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk membantu siasatan.

Saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah  Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast