KUALA LUMPUR – Seorang ibu anak tiga gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM50,000 kepada seorang pegawai dalam bidang kesihatan kerana memfitnah lelaki itu menerusi akaun Facebooknya.
Keputusan itu ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas menolak rayuan wanita berkenaan untuk mengetepikan saman fitnah dan kuantum yang ditentukan oleh Mahkamah Sesyen.
Hakim Noor Hayati Mat ketika memutuskan demikian turut memerintahkan wanita tersebut selaku defendan membayar kos RM5,000 tertakluk kepada alokatur.
Oleh yang demikian, beliau mengekalkan keputusan Hakim Lailatul Zuraida Harron@Harun pada 25 Februari tahun lalu yang membenarkan tuntutan pegawai tersebut selaku plaintif.
Hakim Noor Hayati turut mengesahkan perintah injunksi kekal terhadap wanita berkenaan yang menghalang atau menghentikannya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah, memalukan dan/atau menjatuhkan reputasi plaintif dalam apa juga cara sekalipun pada masa akan datang.
Hakim berkenaan turut mengesahkan perintah Mahkamah Sesyen agar defendan mengeluarkan dan memadam kesemua hantaran fitnah daripada akaun Facebooknya yang merujuk kepada plaintif.
Selain itu, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan perintah supaya defendan menerbitkan dan/atau memuat naik suatu permohonan maaf yang jelas dan penuh penyesalan secara fizikal, secara rakaman video dan/atau hantaran di akaun Facebook miliknya yang akan dimuatnaik dan dibiarkan sehingga ke suatu tarikh yang dipersetujui oleh plaintif.
Selain itu, keputusan Mahkamah Sesyen memberikan faedah ke atas gantirugi am pada kadar lima peritus setahun dari tarikh pemfailan saman sehingga penyelesaian sepenuhnya, dikekalkan.
Dalam alasan penghakiman setebal 26 muka surat, hakim Mahkamah Sesyen berpuas hati tiada keraguan bahawa kenyataan fitnah tersebut memang ditujukan dan merujuk kepada plaintif.
Mahkamah turut berpendapat, plaintif dinamakan secara jelas dalam kenyataan fitnah dalam laman Facebook majikannya sehingga dibaca oleh rakan sekerja lelaki tersebut.
Hakim berkenaan selanjutnya berpendapat, wanita berkenaan gagal mengemukakan pembelaan bermerit dan memberi justifikasi terhadap kenyataan fitnah tersebut.
“Setelah meneliti fakta kes, hujahan, autoriti serta eksibit yang dikemukakan kedua-dua pihak serta keterangan saksi, atas imbangan kebarangkalian mahkamah berpendapat plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap defendan,” demikian menurut alasan penghakiman Mahkamah Sesyen.
Menurut beliau, kenyataan tersebut telah dibuat dalam bahasa menghina dan bertujuan memburuk-burukkan plaintif serta mencemar maruah, imej serta berniat jahat untuk menjatuhkan peribadi dan pekerjaan lelaki tersebut.
Ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, plaintif diwakili peguam Siti Noryani Samsuddin manakala defendan diwakili Muhamad Hisham Marzuki.
Sementara itu plaintif ketika ditemui melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah kerana tempoh yang dilalui selama ini sememangnya mencabar emosi dan mentalnya sebagai individu dan juga penjawat awam.
“Pendekatan saya adalah kekal tenang, mendapatkan nasihat undang-undang yang sewajarnya, serta memberi kepercayaan penuh kepada proses mahkamah.
“Selain itu, sokongan keluarga dan anak anak serta rakan-rakan banyak membantu saya untuk terus kuat dan tidak bertindak di luar batas,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat tidak terburu-buru dalam membuat penilaian hanya berdasarkan kenyataan satu pihak atau apa yang tular di media sosial.
“Setiap isu rumah tangga adalah kompleks dan melibatkan dua pihak yang sama-sama dewasa dan bertanggungjawab atas pilihan masing-masing.
“Berilah ruang kepada proses undang-undang untuk menentukan kebenaran. Fitnah dan penyebaran tanpa fakta boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang dan keluarganya,” katanya. — MalaysiaGazette
















