KUALA LUMPUR – Pembangkang menyeru kerajaan memasukkan 100 peratus dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam Akaun 3 bagi meringankan beban rakyat tanpa menjejaskan simpanan pokok pencarum.
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, tuntutan itu hanya melibatkan dividen tahunan hasil pelaburan KWSP, bukan caruman asal atau pengeluaran simpanan pokok.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak seharusnya menggunakan hujah keselamatan persaraan sebagai alasan menolak permintaan rakyat.
“Apabila kerajaan menguruskan wang lebihan berbilion boleh digerakkan dengan pantas, tetapi bila rakyat minta dividen hasil pelaburan wang mereka sendiri, kerajaan tiba-tiba berselindung di sebalik hujah keselamatan persaraan. Ini naratif yang mengelirukan.
“Hakikatnya, tuntutan rakyat bukan menyentuh caruman asal, tidak minta keluar simpanan pokok, tidak minta usik wang untuk tujuan persaraan atau pengeluaran khas. Yang diminta hanya dividen tahunan semasa keuntungan pelaburan dimasukkan 100 peratus ke Akaun 3,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menyokong cadangan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) supaya dividen 100 peratus dimasukkan ke Akaun 3 sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi keuntungan 2025.
Mengulas lanjut, Shahidan berharap kerajaan berlaku adil dengan memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang seperti yang dijanjikan.
“Walaupun peruntukan kepada Ahli Parlimen kata nak bagi tapi tak bagi, ini duit kami. Kalau nak bagi, bagilah; tak bagi pun tidak mengapa. Kami mohon doa supaya hati-hati mereka yang keras lembut untuk memberi balik hak kami,” katanya. – MalaysiaGazette
















