Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

KUALA LUMPUR – Penghinaan terhadap al-Quran tidak boleh dilihat sebagai sebahagian daripada kebebasan bersuara dan perlu ditangani mengikut lunas undang-undang.

Lebih mendukacitakan, insiden ini berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang dimuliakan sebagai bulan turunnya al-Qur’an.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin berkata, dalam masyarakat plural, kebebasan sentiasa disertai tanggungjawab.

Justeru, sebarang bentuk penghinaan terhadap al-Qur’an pada waktu yang penuh keberkatan ini bukan sahaja mencederakan perasaan umat Islam, tetapi menyentuh sensitiviti terdalam keimanan mereka.

“Al-Qur’an dalam konteks umat Islam bukan sekadar teks keagamaan. Ia adalah wahyu Ilahi, sumber hukum, panduan akhlak dan asas peradaban umat Islam.

“Perbuatan memijaknya adalah tindakan yang tidak beradab, melampaui batas kebebasan bersuara, serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Lantaran itu, penghinaan terhadap mana mana agama, apatah lagi kitab suci, mesti disiasat dan diambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang yang adil dan telus.

Dalam masa sama, ABIM menggesa umat Islam agar tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Menurut beliau, semua pihak perlu bertindak dengan matang dan tidak memanipulasi insiden berkenaan sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Ramadan seharusnya menjadi bulan menenangkan keadaan, bukan membakar ketegangan,” ujarnya.

Pada masa sama,  kerajaan dan masyarakat madani perlu memperkukuh pendidikan literasi agama dan kenegaraan.

Katanya, kefahaman tentang sensitiviti simbol agama adalah asas penting dalam membina budaya saling hormat dalam negara majmuk. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast