Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (empat dari kanan) merasmikan Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) bertempat di Politeknik Banting, Selangor.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Tahun 2026 kembali menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan dengan menyantuni warga institusi pendidikan serta komuniti setempat di seluruh negara.

Program yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN itu dilaksanakan sejak 2021 sebagai “signature program”, bertujuan mengeratkan ukhuwah silaturrahim dan memperkukuh hubungan antara PTPTN dengan para pelajar serta institusi pendidikan.

Majlis perasmian IMRAN 2026 telah disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Politeknik Banting, Selangor, dengan kehadiran wakil pengurusan PTPTN, pihak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, pengurusan politeknik serta pelajar.

Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tiga dari kiri) menyerahkan replika kad Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM1,500 kepada Ts. Ibrahim Buhan, Pengarah Politeknik Banting (dua dari kanan) disaksikan Azirin Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT (tiga dari kanan).

Menurut PTPTN, pelaksanaan tahun ini dibuat pada skala lebih besar, berlangsung dari 24 Februari hingga 13 Mac 2026, melibatkan lima zon merangkumi tujuh lokasi seluruh Malaysia. Zon tersebut ialah:

  • Zon Tengah: Politeknik Banting, Selangor dan City University
  • Zon Utara: Politeknik Ungku Omar
  • Zon Timur: Politeknik Kota Bharu
  • Zon Selatan: Politeknik Ibrahim Sultan
  • Zon Borneo: Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak

Sementara itu, Norliza berkata, IMRAN bukan sekadar memupuk budaya berkongsi rezeki, malah mengeratkan silaturrahim antara PTPTN dan institusi pendidikan tinggi (IPT) serta memperkukuh persepsi positif masyarakat terhadap peranan PTPTN dalam menyantuni komuniti.

Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Kit Kasih PTPTN.

Beliau turut memaklumkan program itu memperlihatkan penglibatan pelbagai pihak termasuk kakitangan politeknik, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pelajar dan warga PTPTN yang bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.

Dalam program sama, PTPTN turut menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada tiga pelajar kurang berkemampuan berupa bantuan one-off RM500 setiap seorang yang dikreditkan terus ke akaun bank pelajar.

Selain itu, Sumbangan Kit Kasih PTPTN dalam bentuk kotak makanan turut disampaikan kepada 20 kakitangan politeknik yang memerlukan bagi meringankan keperluan harian mereka sepanjang Ramadan.

DatoukSeri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bergambar bersama tenaga pengajar dan pelajar Politeknik Banting, Selangor.

Menurut PTPT, program kebajikan itu akan diteruskan sebagai platform jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan, selari komitmen agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkukuh program CSR, khususnya dalam aspek pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast