10 daripada 15 kontena itu mengandungi campuran eWaste dan metal scrap dengan jumlah keseluruhan 245,780 kilogram

KUALA LUMPUR – Cubaan membawa masuk hampir 246 tan sisa elektronik (eWaste) secara haram ke negara ini berjaya dipatahkan menerusi operasi bersepadu di Pelabuhan Klang Barat, hari ini.

Operasi yang diketuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang itu adalah usaha berterusan kerajaan memperkukuh kawalan pintu masuk negara bagi mengekang jenayah alam sekitar.

Komander Port Klang, DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas 15 kontena yang ditahan sebelum ini selepas dikesan mencurigakan melalui mesin pengimbas kontena kira-kira jam 9 pagi.

“Pemeriksaan tersebut turut melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada 15 kontena itu mengandungi campuran eWaste dan metal scrap dengan jumlah keseluruhan 245,780 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati kontena-kontena berkenaan telah memasuki negara secara berperingkat sejak Disember 2024 serta Mei dan Julai 2025.

Menurutnya, kemasukan bahan buangan terjadual seperti eWaste adalah dilarang sama sekali mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hal ini kerana boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.

“Kesemua kontena terbabit kini ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan ibu pejabat JAS bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal.

“Kami juga komited untuk mempertingkat penguatkuasaan dan pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa bahan terlarang

“AKPS akan terus memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” tambahnya.

Langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan lokasi pelupusan sisa haram serta menjaga kepentingan dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast