KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk tidak memanjangkan isu dirinya yang menunaikan solat tanpa telekung seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut penghibur nombor satu itu, ia kerana penjelasan sudah diberikan oleh pihak lebih arif dalam hal agama apatah lagi ia berkaitan ibadat yang tidak sepatutnya diperbesarkan dan dijadikan polemik berpanjangan.
“Saya merasakan soal ibadat tidak perlu saya balas kerana ustaz sudah pun memberikan penjelasan. Kita sebagai umat Islam sudah mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan.
“Saya sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan berharap Allah memberikan kekuatan serta kesabaran. Bukan mudah menjadi anak seni, setiap perbuatan pasti menjadi perhatian,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar Jiwa Prihatin di sebuah hotel semalam.
Sebelum ini, tular gambar Siti Nurhaliza, 47, menunaikan solat dengan mengenakan jubah selepas menghadiri majlis berbuka puasa yang mengundang pelbagai reaksi netizen.
Namun Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan bahawa solat tersebut adalah sah.
Menurut beliau, syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna manakala pemakaian telekung bukan satu kewajipan, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat.
Mengulas lanjut, ibu kepada dua anak itu menjelaskan, pemakaian jubah ketika solat bukan sesuatu yang baharu kerana masih menutup aurat wanita dengan sempurna
“Solat menggunakan jubah bukan bermula daripada saya. Yang penting adalah menutup aurat dengan sempurna seperti yang dituntut agama,” katanya.
Sementara itu, Siti Nurhaliza berharap komen yang diberikan netiza tidak melampaui batas sehingga menimbulkan fitnah biarpun sedar ia merupakan teguran yang boleh dijadikan peringatan,
“Di media sosial, semua orang bebas memberi pendapat. Namun, jangan sampai menjurus kepada fitnah yang boleh mendatangkan dosa,” katanya.
Beliau turut enggan menyalahkan individu yang merakam foto tersebut sebaliknya berpandangan isu timbul akibat reaksi segelintir pihak yang memperbesarkannya. – MalaysiaGazette

















