Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) dikenakan kompaun sebanyak RM100,000 atas kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

Tindakan punitif ini dikenakan susulan insiden pada 12 Disember 2024 kira-kira jam 3.36 pagi di Depoh Subang apabila sebuah jentera shunting dikendalikan RRSB gagal berfungsi dengan sempurna akibat ketidakpatuhan kepada garis panduan penyelenggaraan yang ditetapkan oleh pihak pengeluar peralatan asal (OEM).

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, kegagalan sistem brek jentera berkenaan telah menyebabkan pelanggaran dengan jentera speeder 3.

Kemalangan tersebut mengakibatkan satu kematian dan tiga kecederaan kepada kakitangan RSSB selain kerosakan serius terhadap jentera grinder, speeder 3 dan shunting dengan anggaran kerugian berjumlah RM574,550.

“Siasatan mendapati RRSB selaku pengendali berlesen telah gagal memastikan jajaran dan jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk pengoperasian, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta 715.

“Di bawah Seksyen 101(10) Akta yang sama, jika disabitkan, pihak yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

APAD menegaskan, keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja sebagai langkah pematuhan undang-undang, malah sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan rel agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal yang ditetapkan serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan yang terlibat.

Menurutnya, keputusan untuk mengekalkan kompaun ini juga mengambil kira kepentingan awam dan prinsip akauntabiliti dalam memastikan integriti sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast