Pelancaran program Sinar Ramadan 2026.

SUNGAI BESAR – Program Sinar Ramadan 2026 bagi memperkukuh budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan dilancarkan baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kemuliaan mushaf Al-Quran perlu dipelihara sebagai amanah agung yang wajib dihormati oleh setiap umat Islam.

Menurut beliau, adab terhadap kalam Allah SWT bukan sekadar pada cara menyentuh dan menyimpan mushaf dengan tertib, malah merangkumi sikap hati yang tawaduk, rasa cinta serta kesungguhan untuk memahami dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian.

“Ramadan sewajarnya dijadikan titik mula untuk memperbaharui hubungan dengan Al-Quran, bukan sekadar membaca untuk khatam tetapi menjadikannya panduan hidup, sumber kekuatan rohani dan asas pembentukan akhlak yang mulia dalam keluarga serta masyarakat,” katanya Ketika melancarkan program tersebut.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan urusan pengumpulan serta pelupusan mushaf lama dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan setiap mushaf diuruskan dengan penuh hormat serta mematuhi hukum syarak.

Antara matlamat utama Sinar Ramadan 2026 ialah melupuskan mushaf lama secara beradab, menyediakan Al-Quran baharu kepada golongan yang memerlukan, selain memupuk budaya tilawah dan penghayatan Al-Quran dalam masyarakat.

Majlis pelancaran berlangsung di Masjid Syukriah, Parit 8, Sungai Besar dengan kehadiran masyarakat setempat yang memberi sokongan padu terhadap usaha memperkukuh kecintaan kepada Al-Quran.

Program kemuncak dijadualkan pada 7 Mac 2026 di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima, Sungai Besar, dan dijangka menerima penyertaan lebih ramai daripada komuniti setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast