GAMBAR yang dimuat naik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto FB Dr Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menafikan mencalonkan dirinya sebagai Ketua Pembangkang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mohd Radzi yang merupakan Naib Presiden Bersatu itu turut menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, kebenaran mengenai perkara itu boleh disemak dengan mereka yang turut hadir pada pertemuan tersebut.

Malah, tegasnya, perkara itu juga boleh disahkan sendiri dengan Abdul Hadi.

Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak pernah menyebut nama saya sebagai calon Ketua Pembangkang mewakili Bersatu dalam pertemuan tersebut.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya doakan agar mereka yang menyebarkan fitnah ini insaf,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Mohd Radzi berkata, beliau hari ini dimaklumkan berkenaan fitnah itu yang tersebar dan turut dibincangkan secara meluas di dalam media sosial.

Sebelum ini, Mohd Radzi menerusi laman sosial Facebooknya berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Abdul Hadi di lokasi yang tidak dinyatakan.

Turut kelihatan dalam gambar itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN); Ahli Jawatankuasa Pas, Mohd. Syahir Che Sulaiman dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.

Foto itu dimuat naik Mohd Radzi dengan tulisan ringkas ‘Alhamdulillah’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast