MUAR – Polis sedang mengesan seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Nombor 15, Jalan Bintang 10, Taman Bintang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, laporan polis dibuat ibu mangsa di Balai Polis Parit Jawa di sini, semalam.
“Muhammad Fakrul Aizi Mohammad Rosumur berusia 22 tahun berambut pendek warna hitam, warna kulit kuning langsat dan terdapat bekas luka pada ibu jari kaki. Dia dipercayai memakai baju dan seluar berwarna hitam.
“Kali terakhir dilihat di rumahnya oleh ahli keluarga pukul 7.45 petang pada Ahad lalu. Pada pukul 5 pagi Isnin, ibu mangsa mendapati anaknya sudah keluar rumah dengan membawa beg pakaian dan sehingga kini masih belum pulang.
“Pelbagai tindakan pencarian sudah dilaksanakan oleh pihak polis, namun mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengenali mangsa tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Parit Jawa di talian 06-9874122 dan hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar (06-9564800).
Tambahnya, orang ramai juga boleh terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Mohd Samsul Tilo Muzeri (017-7396520).- MalaysiaGazette
















