SEREMBAN – Majlis Makan Malam Chap Goh Meh anjuran Royal Sungei Ujong Club (RSUC) Seremban berlangsung penuh meriah dan bermakna apabila menghimpunkan ahli serta tetamu pelbagai latar belakang dalam suasana muhibah dan perpaduan sekali gus menandakan penutup perayaan Tahun Baharu Cina dengan jayanya.
Majlis yang diadakan di RSUC itu menyaksikan kehadiran presidennya, Datuk S. Laxmi Kandan bersama Datin Bavani S. Laxmi Kandan, Pengerusi Makanan dan Minuman, Madam Kavitha Supramaniam, Naib Presiden, Letchumanan, Setiausaha Kehormat Geoh Swee Kee serta Pengerusi Projek dan Hasil Thomas Liew Teng Yick, selain ahli-ahli dan kakitangan kelab.
Sambutan tahun ini lebih istimewa apabila mencerminkan semangat sebenar muhibah gabungan harmoni pelbagai budaya, tradisi dan komuniti di bawah satu bumbung.
Suasana dewan dipenuhi gelak tawa, keceriaan perayaan dan jalinan silaturahim yang mengukuhkan lagi hubungan sesama ahli.
Para tetamu dan ahli yang hadir turut menikmati pelbagai hidangan istimewa selain disajikan dengan persembahan menarik yang menambahkan lagi kemeriahan malam tersebut.
Kehadiran dan sokongan semua pihak menjadikan majlis berkenaan bukan sahaja meriah tapi penuh makna.
Penganjuran acara seumpama itu membuktikan kepelbagaian adalah kekuatan utama dalam membina perpaduan yang kukuh.
RSUC terus komited menganjurkan program yang menyatukan komuniti dalam semangat persahabatan, hormat-menghormati dan Muhibah. – MalaysiaGazette
















