SANDAKAN – Tiga individu termasuk seorang wanita warga Singapura ditahan dalam Ops Tapis Narkotik dan Ops Pusat Hiburan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, Sabah semalam.
Dalam operasi kira-kira 1.15 pagi di sebuah premis pusat hiburan di Batu 6 itu, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Singapura kerana disyaki mengunakan dadah.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
Kedua-dua suspek disiasat dibawah Sek.15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi berasingan kira-kira 8 malam di Jalan 2 Pusat Bandar Sandakan pula, polis turut menahan seorang lagi lelaki kerana disyaki memiliki dadah.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















