Seorang lelaki yang memandu lori dalam keadaan lalokdi Jalan Simpang Renggam ke Renggam, Kluang sudah diberkas polis.

KLUANG – Lelaki yang memandu lori dalam keadaan lalok dan berbahaya di kilometer 15.5 hingga kilometer 16 di Jalan Simpang Renggam ke Renggam di sini kelmarin, sudah pun diberkas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek yang berusia 35 tahun memandu sebuah lori jenis Hino menerusi satu rakaman video berdurasi 35 saat.

Jelasnya, melalui rakaman itu, lori dipandu lelaki berkenaan cuba memotong sebuah kereta di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan dari arah bertentangan dan hampir menyebabkan kemalangan.

“Bertindak melalui maklumat dari rakaman itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pehabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya mengesan dan menahan lelaki berkenaan semalam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati tangkapan positif dadah jenis methamphetamin.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan atas jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Menurut Bahrin lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast