KUALA LUMPUR – Voice370 meminta kerajaan memberikan peluang kepada syarikat eksplorasi dasar laut lain yang berkemampuan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 12 tahun lalu di bawah perjanjian “No Find, No Fee” (“tiada penemuan, tiada bayaran”).

Kumpulan yang memberi sokongan kepada ahli keluarga penumpang MH370 yang hilang itu juga mahu kerajaan mempertimbangkan jika ada permintaan oleh Ocean Infinity untuk melanjutkan kontrak pencarian.

“Voice370 tetap berterima kasih kepada semua yang telah menyumbangkan kepakaran, masa dan sumber mereka dalam usaha menyelesaikan misteri ini.

“Kami sangat menghargai jangkauan yang dibuat kepada keluarga dan kepada dunia amnya, dan kami akan sentiasa terhutang budi kepada mereka yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Voice370 menegaskan,  walaupun kontrak berjalan sehingga Jun 2026, namun sukar bagi Ocean Infinity untuk kembali menyelesaikan kawasan yang belum ditinjau kerana kedatangan musim sejuk dan keadaan laut yang semakin meruncing.

“Oleh itu, kami menyeru agar sebarang permohonan untuk melanjutkan kontrak pencarian diberikan tanpa ragu, supaya usaha ini dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan Malaysia hari ini memklumkan, operasi pencarian baharu bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi yang dijalankan sejak tahun lalu masih belum menemukan sebarang petunjuk lokasi pesawat berkenaan.

Pada 25 Mac 2025, Kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk melaksanakan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat penerbangan MH370 di kawasan baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, berdasarkan prinsip “tiada penemuan, tiada bayaran” .

Operasi pencarian itu di bawah perjanjian ini dijalankan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 antara 25 hingga 28 Mac 2025 dan Fasa 2 dari 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026

secara keseluruhan, sebanyak 28 hari operasi pencarian dilaksanakan merangkumi kedua-dua fasa selepas perjanjian dimeterai, dengan tinjauan meliputi kira-kira 7,571 kilometer persegi dasar laut dalam kawasan pencarian yang ditetapkan.

Ocean Infinity juga memaklumkan aktiviti tinjauan tambahan turut dijalankan dalam kawasan pencarian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi ditandatangani pada Mac 2025, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong operasi pencarian.

Operasi turut mengalami gangguan secara berkala akibat keadaan cuaca dan laut. Fasa 2 berakhir pada 23 Januari 2026. – MalaysiaGazette

Pencarian terbaharu MH370 masih tiada petunjuk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast