JOHOR BAHRU – Program Empowering The Young Muslimah sempena Hari Wanita Sedunia amat relevan untuk mempersiapkan wanita dalam berdepan cabaran zaman yang semakin kompleks.
Panel program berkenaan, Dr Afifah Hidayah Tawfek berpendapat, program tersebut memberi panduan kepada wanita muda dalam menangani masalah bukan sahaja untuk yang sudah berkahwin tetapi juga dalam karier mereka.
“Sekarang ini banyak dugaan dan ujian yang lebih besar (dihadapi wanita) berbanding dahulu. Program ini penting untuk wanita muda sekarang untuk mempertahankan diri dia.
“Dunia bukan untuk wanita ditindas tetapi disayangi. Program ini beri semangat dan harus dianjurkan selalu,” katanya.
Beliau yang juga turut dikenali sebagai Dr Fie Tawfek berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Empowering The Young Muslimah di Danga Bay Convention Center di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat Program Mooda Events, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Program dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan membincangkan isu kepimpinan Muslimah, keseimbangan dalam ekonomi rumah tangga serta aspek kerohanian dalam menghadapi cabaran dunia hari ini.
Dr Afifah berpendapat, pengisian program Empowering The Young Muslimah ketika ini sudah mencukupi dan tidak perlu ditambah.
Ini kerana pengisian yang terlalu banyak dan berat dibimbangi akan menyukarkan penyampaian mesej secara berkesan kepada golongan sasar. -MalaysiaGazette
















