KUALA LUMPUR – Pendakwaan akan mengemukakan keterangan bagi menunjukkan wang berjuta-juta ringgit berkaitan projek Jana Wibawa disalurkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan presiden parti itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan pelbagai bentuk keterangan termasuk dokumen, keterangan saksi serta keterangan mengikut keadaan bagi membuktikan kes terhadap tertuduh.
Beliau berkata, Muhyiddin dinamakan sebagai orang kena tuduh (OKT) berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) serta tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Kami akan bergantung kepada keterangan dokumentari, keterangan terus dan juga keterangan mengikut keadaan dalam membuktikan kes ini,” katanya dalam ucapan pembukaan perbicaraan di hadapan mahkamah hari ini.
Wan Shaharuddin berkata, bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) ASPRM, pihak pendakwaan akan bergantung kepada anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23(2) akta tersebut.
Mahkamah turut dimaklumkan Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memutuskan pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) ASPRM terhadap Muhyiddin tidak mempunyai sebarang kecacatan.
Menurutnya, wang berjumlah jutaan ringgit yang menjadi isu dalam kes tersebut tidak dimasukkan ke akaun peribadi Muhyiddin, sebaliknya dimasukkan ke akaun sekutunya iaitu Bersatu.
Bagaimanapun, beliau berkata, Muhyiddin ketika itu merupakan Presiden Bersatu dan pada masa sama memegang jawatan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam projek Jana Wibawa yang dikaitkan dalam kes tersebut.
“Pendakwaan juga akan menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit oleh OKT dan tidak mendapat sebarang keuntungan daripada tindakan tersebut, begitu juga dengan parti sekutunya pada waktu itu.
“Keterangan juga akan menunjukkan sekiranya OKT tidak menjadi Presiden Bersatu dan pada masa sama Perdana Menteri ketika itu, parti tersebut tidak akan menerima sumbangan berjuta-juta ringgit,” ujarnya.
Salah satu pertuduhan terhadap Muhyiddin didakwa berlaku antara hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, iaitu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Bagi empat pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu telah menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.
Perbicaraan kes berkenaan dijangka menyaksikan kira-kira 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan di hadapan mahkamah.
Prosiding sedang berjalan ketika ini dengan saksi pertama seorang pegawai SPRM di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin. – MalaysiaGazette
















