Gambar hiasan

UMAT Islam di Malaysia dan di seluruh dunia kini memasuki minggu ketiga menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan. Kewujudan pelbagai medium media sosial menjadikan kisah berkaitan puasa dan persiapan Aidilfitri seperti bazar yang menarik, cadangan juadah berbuka, resipi menu berbuka, warna tema dan lagu baharu hari raya dan lain-lain lagi rancak dikongsikan pengguna media sosial.

Sewaktu penulis masih kecil, sebelum media sosial wujud seperti kini, semua informasi hanya terhad kepada apa yang ditonton di televisyen, tersiar di corong radio atau yang tertulis di surat khabar. Kini segala sudah jauh berubah, media sosial merubah paradigma bagaimana seluruh masyarakat dunia berhubung dan ‘menyerap’ pelbagai bentuk informasi setiap hari.

Media sosial kini menjadi medan utama interaksi masyarakat moden. Ia bukan sekadar alat komunikasi, malah berperanan sebagai sumber maklumat, pembentuk persepsi dan pemangkin tindakan sosial. Dalam konteks ini, penggunaan media sosial perlu dinilai bukan sahaja dari sudut teknologi, tetapi juga melalui neraca nilai Islam dan kerangka undang-undang agar manfaatnya dapat dimaksimumkan, sementara mudaratnya dapat dibendung.

Dari sudut Islam, komunikasi dan penyebaran maklumat bukanlah perkara remeh. Al-Quran dengan jelas menegaskan prinsip tabayyun, iaitu menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum disebarkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 mengingatkan agar orang beriman tidak menyebarkan berita tanpa penelitian kerana bimbang mendatangkan penyesalan dan kemudaratan. Prinsip ini amat relevan dalam era media sosial, khususnya ketika budaya tular sering mengatasi pertimbangan akal dan fakta.

Tidak dinafikan, media sosial mempunyai potensi besar sebagai alat kebaikan. Ia mempercepat penyebaran ilmu, memudahkan gerak kerja kebajikan, menghubungkan masyarakat dan memberi suara kepada mereka yang sebelum ini terpinggir. Banyak inisiatif kemanusiaan, pendidikan dan dakwah berjaya berkembang hasil kekuatan perkongsian digital. Dalam erti kata lain, media sosial mampu menjadi medan amal jika dimanfaatkan dengan niat dan kaedah yang betul.

Namun, realiti yang berlaku sering memperlihatkan sisi sebaliknya. Penyebaran berita palsu, fitnah, tuduhan tanpa bukti serta kandungan berunsur kebencian semakin berleluasa. Budaya “kongsi dulu, fikir kemudian” telah menjadi kebiasaan. Apa yang lebih membimbangkan, maklumat yang belum tentu benar sering tersebar lebih pantas berbanding penjelasan atau pembetulan.

Islam menekankan larangan menyebarkan fitnah, membuka aib dan mencetuskan kebencian. Dalam konteks media sosial, satu hantaran atau komen boleh menjangkau ribuan orang dalam sekelip mata. Kesan mudaratnya bukan sahaja kepada individu yang menjadi sasaran, tetapi juga kepada keharmonian masyarakat secara keseluruhan.

Media sosial boleh menjadi medan amal kebaikan apabila digunakan untuk dakwah, pendidikan, kebajikan dan penyebaran ilmu yang sahih. Setiap perkongsian yang memberi manfaat boleh dikira sebagai amal jariah. Namun sebaliknya, penyebaran fitnah, aib, kebencian dan maklumat palsu termasuk dalam dosa lidah versi digital. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seseorang boleh terjerumus ke dalam kebinasaan akibat satu kata yang diucapkan tanpa berfikir, apatah lagi apabila kata tersebut disebarkan kepada ribuan orang melalui satu klik.

Dalam konteks undang-undang Malaysia, salah guna media sosial boleh membawa implikasi jenayah. Terdapat peruntukan undang-undang yang jelas untuk mengekang penyebaran kandungan palsu, ugutan, penipuan dan komunikasi jelik. Beberapa kes telah dibawa ke mahkamah melibatkan penyebaran berita palsu, penghinaan melampau dan penipuan kewangan melalui platform digital.

Statistik yang dilaporkan oleh pihak berkuasa menunjukkan aduan berkaitan salah guna media sosial meningkat saban tahun. Ribuan aduan diterima melibatkan penipuan dalam talian, penyamaran identiti, ugutan, fitnah serta penyebaran kandungan palsu. Kes penipuan kewangan melalui media sosial, khususnya melibatkan tawaran pelaburan tidak wujud dan penjualan palsu, turut mencatat kerugian berjuta-juta ringgit kepada mangsa. Angka-angka ini menggambarkan betapa seriusnya implikasi salah guna media sosial terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Persoalannya, adakah penyelesaian terletak semata-mata pada penguatkuasaan undang-undang? Jawapannya tidak. Maka, usaha mendidik netizen berhemah perlu digerakkan secara bersepadu. Pertama, literasi digital perlu digabungkan dengan literasi nilai. Pengguna bukan sahaja perlu tahu cara mengenal pasti berita palsu, tetapi juga memahami dosa dan implikasi undang-undang akibat perkongsian yang tidak bertanggungjawab. Kesedaran bahawa setiap klik membawa kesan dunia dan akhirat wajar ditanam dalam jiwa pengguna.

Kedua, institusi pendidikan, masjid, media dan pertubuhan masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk budaya komunikasi beretika. Pendekatan nasihat, teladan dan pendidikan berterusan lebih berkesan daripada sekadar hukuman. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang perlu tegas dan konsisten bagi memberi mesej jelas bahawa salah guna media sosial tidak akan dibiarkan.

Akhirnya, media sosial adalah amanah. Ia boleh menjadi alat yang menyatukan atau senjata yang memecah-belahkan. Pilihan itu terletak di tangan pengguna. Jika setiap individu memilih untuk menyebarkan maklumat yang sahih, berfaedah dan beradab, maka ruang digital kita bukan sahaja lebih selamat, tetapi juga lebih bermakna. Moga Ramadan mendidik kita menjadi pengguna media sosial yang lebih bertanggungjawab dan berhemah. TAMAT

Penulis adalah Pentadbir di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas  USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast