Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

AMPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan di negara ini masih mencukupi susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan sentiasa memantau keadaan semasa bagi memastikan bekalan barangan keperluan kekal stabil.

“Di peringkat KPDN, pemantauan bekalan turut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pemborong serta pemain industri bagi memastikan bekalan barangan asas mencukupi menjelang Aidilfitri.

“Orang ramai tidak perlu bimbang atau melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan dalam negara mencukupi, termasuk sepanjang musim perayaan,”.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir Majlis Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa Dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata peningkatan harga minyak dunia susulan konflik tersebut boleh meningkatkan risiko penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran.

Sehubungan itu, KPDN akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang cubaan penyeludupan atau penyalahgunaan barangan bersubsidi dalam negara.

Armizan berkata kerajaan juga sedang meneliti sumber alternatif bagi barangan tertentu sekiranya berlaku gangguan bekalan dari negara pengeksport – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast