Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara digesa mendakwa dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbukti menggugat keharmonian masyarakat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, peruntukan undang-undang sedia ada perlu digunakan sepenuhnya termasuk Akta Hasutan 1948; Seksyen 298A Kanun Keseksaan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Dalam masa sama, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan keras terhadap individu yang didapati mengancam keselamatan awam melalui kenyataan atau kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

“Kementerian Perpaduan Negara tidak akan berkompromi dengan mana-mana bentuk provokasi yang dilakukan dengan niat jahat untuk memecahbelahkan rakyat.

“Perpaduan negara bukan bahan mainan politik, apatah lagi alat untuk meraih perhatian atau sokongan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Yuneswaran menambah, pemantauan terhadap kandungan media sosial juga perlu diperkukuh melalui pendekatan lebih agresif dan proaktif.

Tegas beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak boleh dilihat lemah atau lambat dalam menjalankan tanggungjawab pengawalseliaannya.

Ini kerana, ujarnya, kelewatan bertindak terhadap kandungan berunsur kebencian kaum dan agama hanya memberi ruang kepada provokasi terus merebak serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Mana-mana pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman atau agama demi kepentingan tertentu perlu sedar bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan keamanan negara,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara menegaskan komitmen untuk berperanan sebagai pemudah cara dan pengantara antara agensi dalam memastikan sebarang isu sensitif dapat ditangani secara teratur dan berkesan.

Menurutnya, kementerian itu turut memperkukuh usaha pemantauan dan pengurusan isu sensitif melalui penubuhan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) iaitu pusat rujukan nasional yang menyelaras pemantauan isu perpaduan secara sistematik.

Jelasnya, PRISMA mengumpulkan data daripada pelbagai sumber termasuk sistem e-Sepakat, Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), PDRM dan MCMC, bagi mengenal pasti trend serta tahap sensitiviti isu lebih awal, seterusnya membolehkan tindakan dan komunikasi strategik kerajaan diselaraskan secara bersepadu.

“Perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama. Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast