Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LANGAT – Polis memburu dua individu bersenjatakan parang disyaki melakukan jenayah samun terhadap seorang kontraktor di sebuah kebun sawit di kawasan Bukit Perah, Banting, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kontraktor warga tempatan itu jam 10.15 pagi.

Beliau berkata, kontraktor berusia 50-an itu didatangi dua lelaki India dengan berjalan kaki bertanyakan jalan keluar kerana sesat sebelum salah seorang suspek mengeluarkan sebilah parang serta mengikat tangan dan kakinya.

“Suspek turut menendang muka pengadu menyebabkan bibir pengadu pecah.

“Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan, tengah malam tadi.

Akmalrizal juga berkata, suspek kemudiannya melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna putih, sebuah telefon bimbit berjenama, barang peribadi termasuk dokumen penting serta wang tunai kira-kira RM9,500.

“Hasil siasatan dan risikan pihak polis, kenderaan tersebut berjaya dijumpai dalam tempoh masa satu jam yang ditinggalkan oleh suspek di tepi Jalan Prima Puchong, Selangor,” katanya.

Susulan kejadian itu kata Akmalrizal, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast