Penerbangan sewa khas Malaysia Airlines (MH8503) yang membawa pulang 170 penumpang yang terkandas akibat konflik di Asia Barat tiba di KLIA, tengahari tadi.

SEPANG – Seramai 170 penumpang yang terkandas akibat konflik Asia Barat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.32 pagi tadi dengan menaiki penerbangan sewa khas Malaysia Airlines (MH8503).

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi itu membawa 163 rakyat Malaysia dan tujuh lagi ahli keluarga mereka yang terdiri daripada warganegara Thailand (lima), Indonesia (1) dan Maghribi (1).

Wakil Kementerian Luar Negeri menjelaskan, penumpang terdiri daripada pelbagai kumpulan termasuk jemaah umrah Malaysia yang terkandas akibat gangguan penerbangan dan rakyat Malaysia yang terkandas di Qatar.

Ia juga membawa pelajar Malaysia dari Jordan dan Syria yang menghadapi pembatalan penerbangan berulang serta sebilangan kecil rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi.

Katanya, operasi tersebut melibatkan penumpang berumur antara 4 hingga 88 tahun, termasuk kanak-kanak, pelajar dan warga emas.

“Sebelum penerbangan ini, lebih 400 rakyat Malaysia pada awalnya mendaftar minat untuk menyertai operasi evakuasi. Namun selepas penerbangan komersial kembali beroperasi, sebahagian daripada mereka berjaya pulang melalui penerbangan lain,” katanya yang turut berada di KLIA, hari ini.

Menurut beliau, bagi menjayakan penerbangan ini, beberapa Perwakilan Malaysia di rantau Asia Barat memainkan peranan penting di lapangan.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah membantu menyelaras persiapan di lapangan termasuk proses pendaftaran penumpang di Terminal Haji Lapangan Terbang King Abdulaziz serta bekerjasama dengan pihak Malaysia Airlines bagi memastikan proses daftar masuk berjalan lancar.

Pegawai konsular turut digerakkan ke Madinah bagi membantu pemindahan darat jemaah ke Jeddah, yang mengambil masa kira-kira enam jam perjalanan.

Bagi kumpulan yang tiba dari Qatar, Kedutaan Malaysia di Doha telah membantu menyelaras pemindahan mereka melalui perjalanan darat ke Arab Saudi, memandangkan ruang udara Qatar masih ditutup kepada kebanyakan penerbangan awam.

Perwakilan Malaysia turut membantu menyelaras permohonan visa masuk Arab Saudi bagi memastikan kumpulan tersebut dapat melalui lintasan sempadan dan meneruskan perjalanan ke Jeddah.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Amman membantu menyelaras pergerakan pelajar Malaysia dari Jordan dan Syria bagi membolehkan mereka menyertai penerbangan evakuasi ini.

Di lapangan terbang Jeddah semalam, kemudahan turut disediakan bagi penumpang berbuka puasa sebelum berlepas, mengambil kira waktu penerbangan pada waktu malam dalam bulan Ramadan.

Katanya, selain Perwakilan yang terlibat secara langsung dalam penerbangan tersebut, beberapa Perwakilan lain di rantau terbabit termasuk Riyadh, Dubai, Abu Dhabi, Muscat, Ankara, dan Ashgabad turut memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia serta membantu penyelarasan di lapangan.

“Oerasi evakuasi itu menunjukkan bahawa usaha membawa pulang rakyat Malaysia bukan sekadar melibatkan penyediaan penerbangan.

“Ia memerlukan penyelarasan rapat antara pelbagai agensi Kerajaan, kerjasama syarikat penerbangan serta tindakan segera Perwakilan Malaysia di lapangan.

“Usaha ini mencerminkan kerjasama erat antara Kementerian Luar Negeri dan semua Perwakilan Malaysia di rantau Asia Barat, yang bersama-sama memastikan rakyat Malaysia yang terjejas dapat dipindahkan dengan selamat,” kata wakil Wisma Putra.

Tambah beliau, Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi di rantau Asia Barat serta menyokong sepenuhnya penyelarasan operasi oleh Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast