KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas mengenai ‘Rumah Bangsa’ yang diusahakan UMNO membuktikan parti itu tidak pernah berminat kepada masa depan Melayu dan Islam sebaliknya hanya pentingkan politik sendiri.
Timbalan Presiden Amanah. Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sindiran Tan Sri Abdul Hadi Awang itu sekali lagi memperlihatkan pendekatan ala Khawarij Pas yang gemar melabel, menghina dan meragui keikhlasan pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.
“Dalam kenyataan tersebut, pelbagai tuduhan dan metafora telah digunakan seperti “bisikan syaitan”, “hantu raya” hingga mempertikaikan amalan pihak lain seolah-olah hanya Pas sahaja yang membawa Islam, manakala orang lain dianggap tersasar atau dipengaruhi unsur yang menyesatkan.
“Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak matang malah sangat berbahaya kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menghukum dan merendahkan pihak lain. Islam tidak pernah mengajar umatnya meragui iman orang lain semata-mata kerana perbezaan politik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mujahid, tradisi Islam di negara ini sejak dahulu menekankan hikmah, kesederhanaan dan adab dalam berbeza pandangan, bukan budaya melabel dan merendah-rendahkan sesama sendiri.
Ketika pelbagai pihak cuba membuka ruang dialog dan mencari titik pertemuan demi kepentingan umat dan negara, pendekatan menghina serta menolak usaha ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menajamkan lagi perpecahan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya menolak politik yang memonopoli agama untuk menyerang dan merendahkan pihak lain.
Malaysia memerlukan politik yang rahmah, beradab dan menyatukan, bukan politik yang memecah-belahkan masyarakat dengan retorik agama yang sempit dan penuh prasangka.- MalaysiaGazette
















