Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluluskan peruntukan untuk daerah Muar sebanyak RM14.94 juta dalam Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar, semalam.

MUAR – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM14.94 juta bagi melaksanakan 128 projek pembangunan di daerah ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan berkenaan membabitkan pelbagai projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam.

Menurut beliau, projek itu akan memberi manfaat terus kepada rakyat di daerah berkenaan selepas kelulusan peruntukan dibuat menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar, semalam.

“Dalam mesyuarat MTD Muar yang membabitkan tujuh DUN (Dewan Undangan Negeri), sebanyak 405 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 134 isu berjaya diselesaikan, 51 sedang dalam pelaksanaan, 160 adalah permohonan baharu, manakala selebihnya memerlukan penelitian lanjut oleh agensi berkaitan.

Pendekatan melalui MTD itu, katanya, bertujuan memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat diselaraskan dan diselesaikan secara lebih tersusun.

Jelasnya, ia melibatkan antara kerajaan negeri bersama-sama agensi dan jabatan berkaitan supaya tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, berfokus dan berkesan.

Menurut Onn Hafiz, antara projek lain yang bakal dilaksanakan di daerah itu termasuk kerja menaik taraf balapan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Katanya, projek itu selaras dengan usaha memperkukuh kemudahan sukan serta menyokong pembangunan komuniti dan bakat anak muda di Muar.

Semalam, Onn Hafiz menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) di Masjid Jamek Nurul Iman, Parit Bakar di sini.

Penyampaian BKJ itu adalah bagi membantu meringankan beban mereka  yang memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa sama, Onn Hafiz berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan setempat dapat memastikan setiap amanah yang dipikul dilaksanakan sebaiknya.

Tambahnya, ia supaya isu yang dibangkitkan rakyat dapat terus ditangani secara berkesan, sekali gus memastikan pembangunan negeri dapat dirasai secara menyeluruh.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast