SEBERANG JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa pihak yang menyebarkan fitnah kononnya sesi libat urus bersama pemegang taruh tadika swasta diadakan di dalam gereja tampil membuat permohonan maaf.
Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu bersifat berniat jahat serta menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menjejaskan keharmonian.
“Kita ada terima aduan satu kenyataan fitnah yang mendakwa satu sesi libat urus bersama pemegang taruh prasekolah (tadika) swasta diadakan di gereja namun sebenarnya ia berlangsung di dewan sebuah sekolah antarabangsa.
“Ini bulan Ramadan dan apa sahaja fitnah dan juga berita-berita yang cuba mengganggu gugat soal yang terkait rapat dengan keharmonian dan juga membangkitkan rasa marah dan salah faham dalam masyarakat, tidak boleh dibiarkan.

“Saya ambil pendekatan tegas dalam hal ini kerana tidak mahu kita terpalit dengan isu ketegangan agama mahupun kaum dan saya minta pihak yang membuat fitnah itu tampil membuat permintaan maaf kerana apa yang didakwa itu satu kenyataan sangat jahat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Madani Ihya Ramadan Kementerian Pendidikan di sebuah hotel di sini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran dengan dakwaan KPM mengadakan sesi libat urus di dalam gereja.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan, program tersebut sebenarnya berlangsung di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam di sini.
Menurut kenyataan itu, pemilihan lokasi berkenaan dibuat berdasarkan kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain mengetengahkan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan swasta di negara ini. – MalaysiaGazette
















