KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus komited memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan setiap dasar digubal diterjemah dalam bentuk tindakan berkesan di lapangan.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah kritikal itu bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) tidak sekadar menjadi garis panduan di atas kertas sebaliknya mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.

Menurutnya, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menerusi platform MNKT merupakan medium penting dalam penggubalan perundangan berkaitan hal ehwal kerajaan tempatan.

“Kita mahu memastikan setiap kerjasama strategik ini diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar dirasai rakyat.

“Ini termasuklah dalam aspek keselamatan, kebersihan dan keharmonian perancangan bandar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, barisan exco-exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Tema MNKT Ke-87 memfokuskan kepada pengukuhan aspek penguatkuasaan agar setiap peraturan dapat dilaksana secara lebih konsisten, berhikmah, dan berkesan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, antara keputusan besar yang bakal memberikan impak terus kepada kualiti hidup masyarakat adalah persetujuan mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Khidmat Masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil.

“Langkah ini merupakan anjakan dalam pendidikan tingkah laku awam di mana pesalah kini berdepan tindakan khidmat masyarakat bagi menyemai rasa tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“Sehingga 10 Mac lalu, sebanyak 1,001 notis kesalahan telah dikeluarkan oleh SWCorp di beberapa buah negeri. Ini membuktikan kita serius dalam memastikan setiap dasar yang dipersetujui dilaksanakan sepenuhnya demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

Tidak hanya itu, Fadillah berkata, mesyuarat turut menyentuh aspek pengurusan sisa lemak dan minyak (FOG) di premis-premis makanan serta mekanisme pemutihan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

“Penyelarasan Garis Panduan Kerja Ubahsuai Bangunan juga turut diperkenalkan bagi menyeragamkan prosedur di seluruh negara, sekali gus memberikan penjelasan jelas kepada pemilik bangunan mengenai skop kerja yang dibenarkan tanpa menjejaskan keselamatan struktur.

“Kerjasama erat antara Persekutuan dan Negeri ini diharap dapat menutup jurang pelaksanaan dasar, memastikan setiap PBT di seluruh negara bergerak seiring dengan visi kerajaan untuk membangunkan perbandaran yang mampan dan inklusif.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast