Reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh selepas ucapan Perasmian Serentak Persidangan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) 2025 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR — Dakwaan kononnya UMNO tidak lagi memperjuangkan agama ditempelak keras Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang menegaskan parti itu konsisten membangunkan pendidikan Islam dari peringkat tadika hingga ke laluan teknikal dan vokasional.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, UMNO bukan sekadar bercakap soal agama ketika musim pilihan raya, sebaliknya membina ekosistem pendidikan Islam secara berperingkat dan tersusun sejak sekian lama.

“Dari tadika, UMNO wujudkan tadika KEMAS pra-tahfiz. Sekolah menengah, kita buat MRSM tahfiz. Lepasan sekolah, kita sediakan juga TVET tahfiz.

“Itu baru contoh sistem pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Tegas Dr Akmal, tuduhan Ahli Parlimen Marang itu bahawa UMNO tidak lagi memperjuangkan agama Islam adalah tidak adil dan bersifat persepsi semata-mata kerana terdapat pelbagai bukti parti itu sentiasa berjuang dalam hal-hal agama.

“Dan akhirnya kami dituduh tidak perjuangkan agama. Bukan mudah untuk penyatuan melayu Islam ini. Tetapi kita teruskan kerana niatnya demi Allah bukan demi pemimpin.

“InsyAllah rakyat mampu menilai,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast