Penguat Kuasa JAINJ melakukan serbuan dan menahan seorang lelaki dan wanita di sebuah bilik hotel di Muar, kelmarin.

MUAR – Seorang pemuda memberi alasan menemani teman wanitanya pulang ke kampung bagi menyambut Syawal semasa dicekup berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini, kelmarin.

Bagi memastikan perbuatan mereka tidak dihidu pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), lelaki berkenaan membuat tempahan bilik hotel melalui kedai runcit.

Tempahan itu dilakukan dengan cara top-up sebelum masuk ke hotel berkenaan secara berasingan sebagai taktik mengelak dikesan atau disedari.

Lelaki terbabit mendaftar masuk pukul 2 pagi dan kira-kira 10 minit kemudian, pasangannya iaitu seorang remaja perempuan di bawah umur pula mendaftar masuk bagi mengelak disyaki.

Bagaimanapun, perbuatan mereka ‘kantoi’ selepas pihak JAINJ mendapat aduan sebelum pegawai penguat kuasa melakukan serbuan pukul 3.30 pagi.

JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika diserbu, lelaki berkenan yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam bilik yang didapati berada dalam keadaan gelap sebelum menemukan seorang perempuan.

“Dia sedang berdiri sebelah katil dengan pakaian seluar panjang dan baju basahan. Pasangan ini kelihatan pucat,” menurut kenyataan tersebut.

Pemeriksaan di dalam bilik hotel tersebut mendapati katil tidak kemas dengan cadar berterabur dengan kedua-dua tuala mandi sudah basah.

Siasatan JAINJ mendapati pasangan tersebut bukan mahram dan bukan suami isteri.

Lelaki berkenaan berumur 20-an, masih bujang, bekerja dan menetap di daerah ini manakala remaja tersebut berusia 15 tahun.

Jelas JAINJ, remaja perempuan tersebut hanya bersekolah rendah dan kini sudah bekerja.

“Wanita ini berasal dari sebuah negeri lain dan hampir setahun tinggal di Muar kerana bekerja. Dia tinggal dengan sebuah keluarga dipercayai keluarga angkat.

“Kedudukan hotel ini adalah dekat dengan rumah lelaki terbabit iaitu tidak sampai satu kilometer. Hotel dibayar sepenuhnya lelaki tersebut,” jelas JAINJ lagi.

JAINJ memberitahu, perbuatan lelaki tersebut boleh dikenakan hukuman rogol perempuan bawah umur walaupun suka sama suka.

Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan akan dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk proses pendakwaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast