KUALA LUMPUR – Persepsi pilih kasih dalam layanan undang-undang boleh timbul apabila rakyat melihat Zamri Vinoth hadir ke mahkamah dengan tangan bergari seperti penjenayah berbahaya manakala Arun Dorasamy pula dilihat bebas sambil ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Ini kerana menurut Ahli Prowaris, Iskandar Khoo Kuan Yiaw kedua-duanya berdepan pertuduhan yang sama di mahkamah.
Tegas beliau, jika persepsi sedemikian dibiar berterusan, ia boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem keadilan negara.
Jelasnya, sistem keadilan yang telus bukan sahaja melibatkan keputusan undang-undang namun ia juga perlu dilihat dari sudut bagaimana proses itu dilaksanakan dan dilihat oleh masyarakat.
“Pada akhirnya, isu ini bukan sekadar tentang satu struktur, satu tanah, atau dua individu yang sedang berhadapan dengan mahkamah.
“Ia adalah tentang keadilan, konsistensi, dan sama ada prinsip kedaulatan undang-undang benar-benar diterapkan tanpa memilih pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Iskandar, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, keamanan dan keharmonian hanya dapat dipelihara apabila undang-undang dihormati dan dilaksanakan secara adil tanpa tekanan emosi, tanpa provokasi, dan tanpa layanan yang berbeza.
ARTIKEL BERKAITAN
Katanya, pertikaian yang pada asalnya berkisar tentang hak pemilik tanah kini telah berubah menjadi isu yang jauh lebih sensitif iaitu konflik yang dilihat sebagai pertikaian agama.
Dari situ lagi masyarakat katanya turut menyaksikan satu perkara yang menimbulkan persoalan iaitu layanan berbeza dalam proses penguatkuasaan undang-undang.
Ini kerana pada peringkat awal, pertikaian itu sebenarnya bermula daripada usaha sekumpulan aktivis yang mahu mempertahankan hak pemilik tanah daripada pencerobohan dan penggunaan tanah secara tidak sah.
Isu asasnya jelas: sebuah struktur atau objek telah dibina di atas tanah milik persendirian tanpa kebenaran yang sah.
Menurut Iskandar, dalam mana-mana negara yang menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, hak pemilik tanah adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan.
Jika sesuatu struktur dibina secara tidak sah di atas tanah milik individu lain, pemilik tanah mempunyai hak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
Namun keadaan mula berubah apabila pihak tertentu mendakwa bahawa objek yang dibina di atas tanah tersebut mempunyai nilai kesucian agama.
Berdasarkan dakwaan itu, pihak kuil menuntut agar pemilik tanah tidak merobohkan struktur tersebut dan hanya boleh berbuat demikian sekiranya pampasan diberikan termasuk dalam bentuk tanah dan bayaran wang.
“Tuntutan seperti ini menimbulkan persoalan besar. Bagaimana mungkin pihak yang membina sesuatu secara tidak sah di atas tanah milik orang lain boleh menuntut pampasan daripada pemilik tanah yang sah?
“Apabila tuntutan tersebut tidak dilayan, pemilik tanah akhirnya menggunakan haknya untuk merobohkan struktur yang dibina secara haram di atas tanah miliknya.
“Namun selepas itu, naratif pertikaian ini mula dialihkan daripada isu undang-undang kepada isu agama,” katanya lagi.
Beberapa aktivis dan ahli politik memilih untuk menggambarkan insiden ini sebagai serangan terhadap kepercayaan agama, bukannya melihatnya sebagai persoalan hak milik dan penguatkuasaan undang-undang.
Retorik yang semakin emosional kemudiannya mula disebarkan kepada masyarakat sehingga mencetuskan ketegangan antara komuniti.
Tambahnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila wujud laporan ancaman, ugutan, serta tindakan keganasan terhadap individu yang sekadar menyuarakan pandangan mereka mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dan menghormati hak pemilik tanah. -MalaysiaGazette
















