TOKYO – Shigeaki Mori, mangsa yang terselamat dalam pengeboman atom Hiroshima meninggal dunia pada usia 88 tahun, menurut media tempatan pada hari Selasa.
Mori pernah dipeluk oleh Barack Obama semasa lawatan bersejarah beliau ke bandar itu sedekad lalu.
Dia berusia lapan tahun ketika Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom di Hiroshima pada tahun 1945, yang disiarkan ke seluruh dunia.
Akhbar Asahi Shimbun dan media tempatan lain melaporkan Mori meninggal dunia di sebuah hospital di bandar itu pada hari Sabtu.
Mori, yang dikenali kerana kajiannya mengenai nasib tawanan perangm AS di Hiroshima, tercampak ke dalam sungai akibat letupan besar pada 6 Ogos 1945.
“Saya merangkak keluar dari air dan melihat seorang wanita terhuyung-hayang ke arah saya. Seluruh tubuhnya berlumuran darah, dan organ dalamannya terkeluar dari bahagian perut.
“Sambil memegang saya, dia bertanya di mana boleh mencari hospital. Saya menangis dan melarikan diri, meninggalkannya sendirian” kata Mori kepada AFP sebelum bertemu Obama di Hiroshima Peace Memorial Park pada 2016.
Mori yang mengimbau kejadian itu berkata: “Orang yang masih hidup bergelimpangan di sekeliling saya. Saya melarikan diri dengan terpijak muka dan kepala mereka. Saya terdengar jeritan dari sebuah rumah yang runtuh. Tetapi saya terus lari kerana ketika itu saya masih kanak-kanak dan tidak mampu membantu”.
Pada 2016, Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat pertama yang sedang berkhidmat melawat Hiroshima dan memberi penghormatan menyentuh hati kepada mangsa bom atom pertama yang digunakan dalam peperangan.
Mori kelihatan sebak ketika berjabat tangan dengannya.
“Presiden memberi isyarat seolah-olah mahu memeluk saya, jadi kami berpelukan,” kata Mori kepada wartawan selepas itu.
Kira-kira 140,000 orang terkorban dalam pengeboman Hiroshima, termasuk mereka yang terselamat daripada letupan tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian akibat pendedahan radiasi.
Tiga hari kemudian, AS menggugurkan bom plutonium di bandar pelabuhan Nagasaki, mengorbankan kira-kira 74,000 orang dan membawa kepada berakhirnya Perang Dunia Kedua. – Agensi
















