Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali (tengah) bergambar selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mac 2026.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperhebatkan Op Selamat 26 dengan menggerakkan 5,544 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara bagi mengekang kemalangan serta melancarkan aliran trafik sepanjang perayaan Aidilfitri.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, operasi yang berlangsung dari 19 hingga 24 Mac ini memberi fokus kepada penguatkuasaan menyeluruh serta kesiapsiagaan awal bagi menghadapi peningkatan kenderaan ketika musim perayaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mac 2026.

“Op Selamat yang dilaksanakan sejak 2012 ini mengekalkan konsep perkhidmatan pre-emptive dan penguatkuasaan penuh bagi memastikan tindakan lebih berkesan di lapangan.

“Penugasan anggota akan tertumpu di laluan utama seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan dan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Op Selamat 26 sempena Aidilfitri yang turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Menurutnya, enam kesalahan utama dikenal pasti sebagai penyumbang kemalangan iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar serta memotong barisan.

Dalam masa sama, beliau berkata, sebanyak 25 pasukan Emergency Response Team (ERT) akan ditempatkan di 11 lokasi strategik di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Pantai Timur bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan kepada pengguna.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali pada Majlis Pelancaran Ops Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mac 2026.

“Tema kali ini ialah ‘Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan dan Keselamatan Diutamakan’ sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih bertanggungjawab ketika memandu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan larangan pergerakan kenderaan berat akan dikuatkuasakan pada 19 hingga 20 Mac serta 28 dan 29 Mac bagi mengurangkan kesesakan trafik sebelum dan selepas Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali mengedarkan goodies beg kepada pengunjung pada Majlis Pelancaran Ops Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mac 2026.

 

Sehubungan itu, pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi had laju, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta merancang perjalanan lebih awal dengan menyemak maklumat trafik terkini.

“Kerjasama dan disiplin pengguna jalan raya amat penting bagi memastikan semua dapat pulang ke kampung dengan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast